Sabtu, 2 Julai 2016 | 12:04am

Cirit birit gejala awal radang usus

MAKAN makanan yang tidak dibasuh dengan bersih bukan saja menyebabkan keracunan tetapi mendedahkan kepada komplikasi serius termasuk kegagalan buah pinggang.

Gastroenteritis atau jangkitan kuman pada usus disebabkan sejenis organisma dikenali sebagai bacteria Escherichia coli (e.coli 0157). Jangkitan itu menyebabkan seseorang mengalami gejala keracunan seperti sakit perut, cirit birit serta pendarahan ketika membuang air besar.

Individu yang mengalaminya memerlukan rawatan dialisis akibat buah pinggang tidak berfungsi dengan sempurna seperti lazimnya dilakukan pesakit buah pinggang lain.

Perunding Gasroenterologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali, berkata keadaan ini jarang berlaku tetapi terjadi pada bila-bila masa termasuk pada musim perayaan.

Gejalanya boleh dilihat dalam tempoh 24 jam iaitu apabila seseorang termakan makanan yang tidak disediakan dengan bersih ketika berbuka puasa, keesokan harinya atau ketika bersahur akan mula berasa sakit.

Elak simpan makanan terlalu lama

Penyediaan makanan dan minuman hendaklah dilakukan secara rapi dengan standard kebersihan bagi mengelakkan keracunan.

Katanya suhu negara yang mencecah 37 hingga 40 darjah selsius menjadi faktor menyumbang kepada makanan mudah basi dan menyebabkan keracunan.

Justeru, elakkan makanan disimpan terlalu lama dan tidak lebih daripada 24 jam dan sebaiknya elakkan menyimpan makanan di dalam peti sejuk sehingga berhari-hari kerana menggalakkan pembiakan kuman.

Ini kerana peti sejuk adalah tempat sempurna untuk kuman membiak kerana ada kuman menggemari suhu serendah empat darjah selsius.

"Ramai salah faham simpan makanan dalam peti sejuk dan tidak ada kuman sedangkan tempat ini adalah kawasan paling banyak terdapat kuman.

"Makanan yang disimpan sehari dua di dalam peti sejuk walaupun dipanaskan tetap tidak membunuh keseluruhan kuman kerana pada masa itu pembiakan kuman sudah banyak," katanya.

Nikmati sajian segar selepas masak

Sebaiknya, makanan seperti ayam, daging dan ikan dimasak dan dimakan ketika segar berbanding disimpan di dalam peti sejuk beberapa hari.

Cirit birit berterusan juga menandakan seseorang itu berkemungkinan mengalami radang usus yang turut menunjukkan gejala seperti keracunan makanan.

Radang usus atau inflamatory bowel disease (IBD) boleh dirawat tetapi kebanyakan pesakit datang lambat kerana salah faham dengan cirit birit atau keracunan makanan.

Mereka yang ada cirit birit lebih daripada empat hingga enam minggu kebanyakannya bukan keracunan makanan kerana keracunan biasanya berlaku kurang daripada tempoh berkenaan.

Pemeriksaan lanjut perlu seperti endoskopi iaitu memasukkan kamera melalui dubur untuk melihat keadaan usus besar perlu dijalankan untuk memastikannya.

Info:

Tip menjaga usus:

1. Kita adalah apa yang kita makan

-Makan makanan sihat dan seimbang

-Lebihkan makanan serat tinggi

-Kajian menunjukkan mereka yang makan daging merah setiap hari berisiko mengalami barah usus sehingga 17 peratus.

-Kurangkan pengambilan lemak

-Kurangkan pengambilan gula

2. Lakukan aktiviti fizikal tiga hingga empat kali seminggu

3. Minum air kosong secukupnya

4. Amalkan gaya hidup sihat, berhenti merokok, jangan minum minuman beralkohol dan bergas.

Rawatan:

# Masuk air untuk merehatkan usus tanpa makan dan minum

# Pengambilan najis untuk menentukan jenis kuman

# Pengambilan antibiotik

Gejala keracunan makanan:

# Salah satu atau lebih daripada di bawah:

1. Loya

2. Muntah

3. Cirit birit berair

4. Buang air besar berdarah

5. Sakit pada abdomen dan kejang

4. Letih dan lesu

Punca keracunan:

# Kanak-kanak -rota virus

# Dewasa-e.coli, salmonella dan shigella

Tip mengelakkan keracunan di rumah:

1. Basuh tangan, peralatan memasak dan makanan dengan air sabun dan air suam sebelum menyediakan makanan.

2. Jauhkan makanan mentah dengan makanan sedia dimakan bagi mengelakkan pencemaran.

3. Masak makanan dalam suhu selamat untuk membunuh bakteria atau kuman.

4. Buang makanan yang sudah tidak berkualiti atau busuk.

Fungsi usus besar:

# Panjang sekitar 1.5 meter

# Menyerap air dan garam daripada makanan yang sudah dicerna

# Menyingkirkan sisa bahan seperti serat.

# Bakteria dalam usus menghasilkan vitamin yang diserap ke dalam darah

Bagaimana cirit birit terjadi:

# Usus besar tidak dapat menyerap air dan garam kerana terdapat jangkitan atau luka pada dinding

# Usus besar terpaksa menolak air dan garam keluar dalam daripada perut dalam bentuk pembuangan air besar.

Risiko jangkitan bakteria:

# Keracunan makanan

# Kegagalan buah pinggang

# Radang usus

Berita Harian X