Sabtu, 2 Julai 2016 | 1:44pm

UMNO Pagoh perlu terima hakikat - Ismail

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad.

JOHOR BAHRU: Ahli UMNO Pagoh perlu menerima kenyataan dan memahami sistem parti yang memerlukan pengganti apabila seseorang pemimpin itu dipecat atau hilang status keahlian.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad, berkata pemindahan tampuk kepemimpinan adalah lumrah dalam parti.

"Apabila beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dipecat, pihak satu lagi kena faham. Ini UMNO, jika ketua tiada, diturunkan kepada timbalan dan kalau timbalan dipecat, akhirnya kepada naib ketua.

"Tan Sri Muhyiddin sudah dipecat dan pada masa sama kita perlu menghargai beliau. Walaupun ada ahli UMNO Pagoh tidak setuju dengan keputusan dibuat, kami masih ahli parti dan atas sebab itu pihak satu lagi tidak boleh menangguk di air keruh," katanya.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Pasar Tani Khas sempena Aidilftiri di sini, hari ini.

Minggu lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO, memecat Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada UMNO kerana melanggar disiplin parti.

Berita Harian X