Sabtu, 2 Julai 2016 | 2:50pm

Bolt cedera, mungkin terlepas Olimpik Rio


Usain Bolt menahan kesakitan kerana masalah hamstring pada saingan Ujian Olimpik Kebangsaan Jamaica. - Foto REUTERS

KINGSTON, Jamaica: Juara dunia 100 meter, Usain Bolt menarik diri daripada Ujian Olimpik Kebangsaan Jamaica selepas saingan separuh akhir kerana masalah hamstring yang mungkin boleh menyebabkan dia terlepas mempertahankan emas di Olimpik Rio.

Bolt yang juga pemegang rekod dunia 100 meter dan bakal berusia 30 tahun pada hari terakhir temasya di Rio, memenangi separuh akhir dengan catatan 10.04 walaupun bermula perlahan.

Dia meninggalkan Stadium Nasional dalam keadaan baik sebelum sempat berentap di final.

"Selepas berasa tidak selesa pada hamstring selepas pusingan pertama malam tadi dan sekali lagi pada malam ini, saya terus diperiksa oleh ketua doktor kejohanan kebangsaan," kata Bolt dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Twitternya.

Terlepas final persaingan itu tidak menamatkan impian Bolt untuk cuba memenangi pingat emas Olimpik ketiga berturut-turut menerusi 100, 200 dan 4x100 bulan depan di Brazil.

Badan pengawal olahraga Jamaica membenarkan pengecualian perubatan jika atlet menunjukkan kecederaan hingga menafikan peluang untuk bersaing pada ujian.

Tetapi Bolt juga mesti membuktikan kecergasannya dan merancang melakukan larian dalam tiga minggu di kejohanan Liga Berlian di London yang penting untuk membuktikan tahap kecederaannya.

"Saya sudah menyerahkan surat pengecualian perubatan untuk dikecualikan daripada perlumbaan akhir 100m dan baki kejohanan kebangsaan," kata Bolt.

"Saya akan mendapatkan rawatan dengan segera dan berharap dapat menunjukkan kecergasan di Sukan Ulangtahun London pada 22 Julai untuk pemilihan ke Sukan Olimpik di Rio." - AFP

Berita Harian X