Sabtu, 2 Julai 2016 | 4:15pm

Tingkat langkah cegah denggi

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Yusni Ariffin
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Yusni Ariffin

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya meningkatkan langkah pencegahan denggi pada musim perayaan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pergerakan orang ramai secara meluas ketika cuti sekolah dan musim perayaan boleh menyebabkan jangkitan demam denggi merebak lebih cepat jika nyamuk Aedes berada di persekitaran mereka.

Dr Noor Hisham turut meminta kerjasama pengusaha bas melakukan semburan aerosol dalam bas setengah jam sebelum penumpang menaiki bas bagi membunuh Aedes dewasa, seterusnya mengelak penyebaran virus denggi.

"Langkah pencegahan yang perlu diambil termasuk memastikan tiada bekas dan tempat berpotensi untuk pembiakan Aedes di kediaman masing-masing ketika pulang ke kampung.

"Langkah memasukkan pembunuh jentik-jentik dalam takungan air kekal, semburan aerosol bagi membunuh nyamuk, bahan penghalau nyamuk dan mengelak dari kawasan wabak denggi adalah antara pencegahan wajar dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Dr Nor Hisham berkata, jumlah kes demam denggi yang direkodkan dari Januari hingga 25 Jun tahun ini adalah 55,765 kes, berbanding 56,533 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Ini menunjukkan petanda baik iaitu pengurangan 1.4 peratus (768 kes) berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Sebanyak 122 kematian dicatat hingga 25 Jun lalu, berbanding 162 kematian bagi tempoh sama tahun lalu, penurunan sebanyak 24.7 peratus (40 kematian)," katanya.

Berita Harian X