Sabtu, 2 Julai 2016 | 5:36pm

Pikap penuh ganja ditemui


NANDA (empat dari kiri) bersama pegawai menunjukkan sebahagian daripada 150kg ganja yang dirampas. - Foto Eizairi Shamsudin

ARAU: Sebuah pikap dipenuhi muatan 150 kilogram (kg) ganja bernilai RM360,000 ditemui terbalik di tepi jalan Kampung Rambai dekat Mata Ayer di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata trak pikap bernombor pendaftaran negara jiran dari arah Berseri ke Jalan Kuala Perlis-Changloon itu dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas ke tebing jalan kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Bertindak atas maklumat awam, katanya, polis menghantar Unit Kereta Peronda (MPV) untuk memeriksa lokasi kejadian sebelum menemui 150 ketulan mampat dipercayai ganja di dalam dan luar kenderaan terbabit.

"Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa bahagian kenderaan seperti di bampar dan but diubah suai bagi menyembunyikan bahan terlarang itu.

"Kita percaya suspek cuba melarikan diri tetapi gagal selepas kenderaan terbabit tersangkut berdasarkan kesan tayar di tebing jalan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini, hari ini.

Nanda berkata, pihaknya bekerjasama dengan pasukan narkotik negara jiran bagi mengenal pasti individu yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

31 dibaca
Berita Harian X