Ahad, 3 Julai 2016 | 12:09am
PEKERJA memunggah kelapa dari kapal ke dalam lori. - Foto Syarafiq Abd Samad
ANTARA barang yang dibawa dari Malaysia ke Indonesia oleh kapal selepas menyelesaikan penghantaran kelapa ke Malaysia di Pelabuhan Perdagangan Tukar Barang Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad
PELABUHAN Perdagangan Tukar Barang Batu Pahat menggunakan kaedah pertukaran barang sejak lebih 40 tahun lalu. Foto Syarafiq Abd Samad
PENGURUS Pusat Operasi FAMA Batu Pahat, Musa Abdul Kahar. - Foto Syarafiq Abd Samad

Import kelapa dari Indonesia turun 50 peratus


BATU PAHAT: Sebanyak 1.5 juta biji kelapa diimport oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menampung permintaan rakyat Malaysia sepanjang Ramadan dan Aidilfitri yang dijangka disambut pada Rabu ini.

Jumlah itu adalah yang dibawa masuk menerusi Pelabuhan Perdagangan Tukar Barang Batu Pahat di sini sejak 1 Ramadan lalu hingga semalam, yang mana pengantaran terakhir dipunggah untuk edaran.

Pengurus Pusat Operasi FAMA Batu Pahat, Musa Abdul Kahar, berkata jumlah itu merosot 50 peratus berbanding import tiga tahun kebelakangan ini yang berjumlah sehingga 3 juta biji.

Katanya, Ramadan dan Aidilfitri kali ini bertembung dengan musim kelapa dalam negara dengan kebanyakan pembekal dan pemborong mendapatkan bekalan kelapa tempatan daripada Bagan Datoh, Perak; Kuala Selangor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Tiga tahun sebelum ini, ketiadaan kelapa dalam negara kerana musim berlalu menyebabkan negara terpaksa bergantung kepada import kelapa Indonesia.

"Namun, tahun ini situasinya berbeza dan FAMA hanya mengimport 1.5 juta biji kelapa. Kebanyakan pembekal dan pemborong juga lebih gemar kelapa tempatan yang lebih berkualiti dan memiliki santan yang lebih banyak berbanding kelapa negara jiran.

KEBANYAKAN pembekal Indonesia memanfaatkan sistem tukar barang bagi mendapatkan barangan yang sukar didapati di tempat mereka. - Foto Syarafiq Abd Samad

PEKERJA menyusun kelapa dalam lori sebaik bekalan tiba dari Indonesia. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Minggu ini yang juga minggu ketiga Ramadan adalah waktu puncak kelapa Indonesia dibawa masuk ke Pelabuhan Perdagangan Tukar Barang Batu Pahat yang menjadi antara pintu masuk utama kelapa import," katanya kepada BH.

Musa berkata, semua kelapa yang dibawa menerusi kapal dan tongkang dari Kepulauan Riau, Indonesia seperti Bengkalis, Guntong, Penjuru, Tanjung Samak serta Palembang itu akan selesai dibawa masauk menjelang tiga hari sebelum Aidilfitri.

Katanya, kira-kira 200,000 biji kelapa daripada kawasan sumber baharu Indonesia iaitu Acheh turut dibawa masuk menerusi Pelabuhan Butterworth, Pulau Pinang.

"Kelapa yang dibawa masuk dari Pelabuhan Barter Trade Batu Pahat turut akan dihantar dan diagihkan ke Pusat Agihan FAMA di Alor Setar, Kedah (200,000 biji) dan Pusat Agihan FAMA di Kuantan, Pahang (200,000) sebelum dipasarkan.

"Bagi Wilayah Selatan membabitkan pasaran Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan sebahagian Selangor pula sebanyak 1.1 juta biji kelapa akan diagihkan ke pusat agihan di setiap negeri berkenaan.

"FAMA juga akan menghantar kira-kira 100,000 biji kelapa di Pusat Simpanan FAMA di Senawang, Negeri Sembilan sebagai bekalan tambahan jika berlaku kekurangan kelapa menjelang Aidilfitri dan ketika minggu raya nanti," katanya.

PEKERJA melakukan pemunggahan kelapa dari kapal ke dalam lori sebaik tiba dari Indonesia di Pelabuhan Perdagangan Tukar Barang Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad

PROSES pemindahan kelapa ke dalam lori dilakukan kapal tiba dari Indonesia. - Foto Syarafiq Abd Samad

Perdagangan tukar barang sejak 40 tahun lalu

Pelabuhan Perdagangan Tukar Barang Batu Pahat masih menggunakan kaedah pertukaran barang sejak lebih 40 tahun lalu sehingga kini.

Musa berkata, kebanyakan syarikat pemborong serta pembekal yang mengimport barangan terutama hasil pertanian dari Kepulauan Riau di Indonesia menggunakan kaedah pertukaran barang sebagai transaksi utama mereka.

Katanya, namun ada juga pembekal yang menggunakan gabungan 50 peratus kaedah sistem barter dan 50 peratus lagi transaksi bayaran tunai ketika berdagang di pelabuhan berkenaan.

"FAMA sendiri sering menggunakan kaedah sistem barter dengan pembekal dari Indonesia yang mahu kelapa yang dibawa mereka ditukar dengan buah-buahan termasuk durian dan limau mandarin ketika musim durian dan Tahun Baru Cina.

"Selain itu, ada juga pembekal di Indonesia yang mahukan pertukaran barter antara kelapa serta isi kelapa yang dibawa dari sana dengan ikan keli tempatan mahupun bawang dari India dan ia dilakukan menerusi FAMA.

"Selain hasil pertanian, pada musim perayaan Aidilfitri pula, syarikat pembekal kelapa daripada Indonesia membuat sistem barter dengan syarikat pembekal di sini, bagi mendapatkan barangan seperti minuman bergas, air mineral, mee segera sehinggalah tilam, almari, basikal serta simen dengan kelapa yang dibawa mereka," katanya.

SEMUA kelapa yang dibawa menerusi kapal dan tongkang dari Kepulauan Riau, Indonesia. - Foto Syarafiq Abd Samad

Musa berkata, keunikan Pelabuhan Barter Trade Batu Pahat itu menyebabkan hubungan pembekal Indonesia, pembekal tempatan dan agensi kerajaan yang menyelia pelabuhan itu akrab seperti keluarga.

Katanya, kebanyakan pembekal Indonesia melakukan sistem barter bagi mendapatkan barangan yang sukar didapati serta tiada di kawasan mereka.

"Ini kerana kedudukan pusat perdagangan di bandar besar Indonesia seperti Jakarta dan Bandung berada agak jauh daripada Kepulauan Riau, Indonesia yang lebih dekat dengan Johor khususnya Batu Pahat.

"Hubungan unik antara Kepulauan Riau dan Johor yang turut mempunyai rumpun bahasa yang sama juga memudahkan interaksi dan mereka turut mempunyai citarasa seperti orang di sini menyebabkan kebanyakan bahan makanan di sini sering dijadikan bahan pertukaran utama," katanya.

SEBANYAK 1.5 juta biji kelapa diimport FAMA bagi menampung permintaan rakyat Malaysia sepanjang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

FAKTA NOMBOR:

  • 40 kapal kecil serta tongkang mengangkut kelapa dari Kepulauan Riau ke Batu Pahat setiap hari¬† sepanjang Ramadan.
  • 120 tan kelapa diangkut dengan kapal kecil atau tongkang setiap hari ke Batu Pahat sepanjang Ramadan.
  • 10 lori disewa khas FAMA setiap hari sepanjang Ramadan bagi mengangkut dan mengedarkan kelapa di seluruh kawasan agihan seluruh negara.
  • 25 lori digunakan pemborong serta pembekal swasta bagi mengagihkan kelapa ke seluruh negara setiap hari sepanjang Ramadan.
  • 7 hingga 10 jam waktu perjalanan diambil daripada Kepulauan Riau ke Pelabuhan Trade Batu Pahat.
  • RM6 sekilogram harga siling kelapa parut.
  • RM8 sekilogram harga siling santan segar.
Berita Harian X