Isnin, 4 Julai 2016 | 10:44am

Satu lagi kes difteria di Kedah

KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Kuala Muda, Sungai Petani memasang papan tanda mengenai bahaya difteria. - Foto Omar Osman

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan seorang lagi kanak-kanak lelaki berumur enam tahun di Kedah menghidap difteria, manakala di Johor seorang kanak-kanak lima tahun disyaki positif.

Angka berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan pesakit difteria hingga 2 Julai lalu menjadi 14 kes, dengan lima kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kanak-kanak berkenaan mula mengalami demam pada 26 Jun lalu, sebelum dimasukkan ke hospital di Kedah, tiga hari berikutnya.

Katanya, bagaimanapun, keadaan pesakit bertambah teruk 1 Julai lalu, sehingga pakar terpaksa memberikan bantuan kecemasan pernafasan.

"Pesakit kemudiannya dirujuk ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Ujian makmal pada hari sama, mengesahkan pesakit positif difteria.

"Status imunisasi kanak-kanak ini tidak dapat disahkan kerana tiada rekod menunjukkan pengambilan imunisasi. Kes terbaharu ini sporadik (terpencil) dan tiada hubung kait dengan enam kes terdahulu," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, di Johor, keputusan ujian makmal belum diperoleh namun, kanak-kanak berkenaan disahkan menghidap demam, sakit tekak selain, tidak mendapat imunisasi 5-serangkai lengkap.

Bagaimanapun, katanya, keadaan pesakit dilaporkan stabil dan rawatan serta langkah pencegahan untuk jangkitan difteria sudah dijalankan.

KKM sudah menyediakan rawatan pencegahan, profilaksis kepada semua individu yang berhubung dengan pesakit baharu ini selain, menjalankan langkah pencegahan dan kawalan segera.

Berikut adalah pecahan kes difteria mengikut negeri:

* Melaka - tiga kes dengan satu kematian;

* Kedah - tujuh kes dengan satu kematian);

* Sabah - empat kes dengan tiga kematian;

Sehubungan itu, Noor Hisham menyeru ibu bapa menyemak semula status imunisasi anak-anak masing-masing selain, memastikan anak di bawah umur tujuh tahun mendapat perlindungan optima menerusi suntikan imunisasi 5-serangkai lengkap.

Katanya, langkah proaktif semua pihak dapat meningkatkan imuniti kelompok dan membendung kejadian penyakit difteria daripada terus menjadi masalah kesihatan awam.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X