Isnin, 4 Julai 2016 | 11:06am

Erra Fazira 'wajib sedondon' dengan Engku Aleesya


ERRA Fazira dalam membuat persiapan menyambut 1 Syawal hanyalah kepada puteri kesayangan, Engku Aleesya. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Sejak berstatus ibu tunggal, tumpuan aktres jelita, Erra Fazira dalam membuat persiapan menyambut 1 Syawal hanyalah kepada puteri kesayangan, Engku Aleesya.

Apatah lagi, kali ini, Erra akan meraikan hari pertama Syawal bersama Aleesya sebelum dia beraya dengan bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin pada raya kedua.

"Sebenarnya, persiapan raya saya biasa-biasa saja. Saya sudah membeli baju sedondon untuk digayakan bersama Aleesya. Saya juga sudah mula mengumpul biskut raya.

"Tahun ini, mood saya hendak beraya sedikit memuncak. Saya sudah mula menukar langsir baru. Iyalah, tahun lalu, Aleesya beraya denga bapanya dulu. Kali ini, dia akan bersama saya pada raya pertama," katanya kepada BH Online.

Erra yang kini dikaitkan menjalin hubungan intim dengan penyanyi, Shahir Zawawi, berkata dia bercuti dua minggu dan mahu berehat.

"Seperti lazimnya, Erra beraya di Kuala Lumpur dan akan pulang ke kampung di Sungai Choh, Rawang," katanya.

Erra bakal muncul dengan telefilem khas Aidilfitri, Tuan Anas Mikhael yang turut dibintangi Zara Zya dan Aaron Aziz. Aksi Erra juga dapat ditonton dalam program Melodi Raya.

Berita Harian X