Isnin, 4 Julai 2016 | 7:05pm

Mangsa terbaru difteria di Kedah tiada rekod imunisasi

ALOR SETAR: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang disahkan mangsa terbaru difteria di Kedah, mempunyai status imunisasi yang diragui berikutan ketiadaan rekod mengenai perkara itu di dalam kad kesihatan dimiliki.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, merujuk kenyataan akhbar 'Status Terkini Kes Difteria di Malaysia' oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengulas lanjut, katanya kanak-kanak itu mula menghidap gejala demam selama tiga hari sehinggalah dibawa mendapat rawatan di Klinik Kesihatan pada 28 Jun lalu, selepas mengalami sawan.

Beliau berkata, pesakit kemudian dirujuk ke Hospital Kulim dan dimasukkan ke wad isolasi pada hari sama kerana disyaki difteria, manakala rawatan segera diberikan dan ujian makmal untuk pengesahan jangkitan difteria dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan segera.

"Keadaan pesakit kritikal pada tengah malam 30 Jun lalu, sebelum dirawat dengan alat bantuan pernafasan. Pesakit dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada awal pagi Jumaat lalu dan sehingga kini keadaannya masih kritikal.

"Pada hari sama, ujian makmal oleh pihak IMR mengesahkan ia adalah jangkitan difteria," katanya dalam satu kenyataan di sini, petang ini.

Norhizan berkata, notifikasi terbaru kes difteria dari Kulim ini menjadikan 10 kes keseluruhan difteria di Kedah iaitu lapan di Kuala Muda serta masing-masing satu di Langkawi dan Kulim.

Daripada 10 kes itu, tujuh disahkan oleh IMR sebagai difteria dengan satu kematian iaitu seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun dari Kuala Muda, manakala seorang lagi bayi lelaki berusia 10 bulan masih dirawat di ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan masih kritikal.

Norhizan berkata, bagi kes terbaru dari Kulim, tindakan kawalan dijalankan ke atas keluarga pesakit dan pra sekolah bagi mengesan kontak rapat pesakit.

"Semua kontak rapat dikenal pasti iaitu sembilan individu di rumah, selain di pra sekolah yang dikesan seramai 19 orang yang semuanya lengkap imunisasi.

"Enam pelajar mengalami sakit tekak, tetapi tiada simptom demam dan dinasihat mendapat rawatan di klinik kesihatan berdekatan.

"Bagi kawasan kediaman kes, jumlah rumah dilawati sebanyak 124 buah dengan sejumlah 249 kanak-kanak diperiksa iaitu 74 kanak-kanak berusia bawah 7 tahun, selain 175 lagi berusia antara 7 hingga 10 tahun," katanya yang mengesahkan 10 daripada jumlah itu tidak mendapat imunisasi.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X