Isnin, 4 Julai 2016 | 11:19pm

Warga emas hilang tempat tinggal menjelang Aidilfitri

KEADAAN rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Nerus. - Foto Zaid Salim

KUALA NERUS: Seorang ibu tunggal warga emas kehilangan tempat tinggal apabila kediamannya di Kampung Kubang Jela, Manir, di sini, musnah dalam kebakaran mengakibatkan kerugian kira-kira RM200,000 petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, Minah Embong, 63, berada di rumah anak perempuannya kira-kira 50 meter dari kediamannya.

Menantunya, Mohd Azmi Deraman, 44, berkata, ketika kejadian mentua bersama isterinya sedang berada di dapur bagi menyediakan juadah berbuka puasa.

"Saya menyedari kebakaran apabila diberitahu abang ipar, Zurakimi Ngah, 46, yang tinggal berhampiran rumah mentua dan kami berusaha memadamkan api tetapi gagal kerana ketika itu sudah marak membakar dinding dan bumbung rumah," katanya.

Katanya, rumah berkenaan hanya didiami mentua dan seorang anak lelaki berusia 38 tahun selepas kematian suami kira-kira empat tahun lalu.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBP) Negeri, Ahmad Shah Mohd Ariffin, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 5.43 petang dan 10 anggota bersama dua jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan 100 peratus bahagian rumah dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan punca kejadian dan anggaran kerugian dialami pemilik rumah berkenaan.

"Bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk memadam kebakaran bagi mengelakkan ia merebak ke kediaman berhampiran," katanya.

Berita Harian X