Selasa, 5 Julai 2016 | 12:03am

Rel pengangkutan utama ibu kota

SISTEM perhubungan yang merangkumi rangkaian lebuh raya dan pelbagai kaedah pengangkutan seperti transit aliran ringan (LRT), kereta api laju atau rel antara bandar, pengangkutan air dalam bandar adalah antara ciri penting untuk menyediakan bandar raya bertaraf dunia.

Lihat saja, bandar raya seperti New York, Tokyo, dan London, kota raya berkenaan mempunyai rangkaian pengangkutan canggih, memenuhi keperluan awam dan berhubung antara satu sama lain.  

Untuk menjadikan Kuala Lumpur bandar raya dunia, maka aspek itu perlu di ambil kira.

Perkhidmatan rel adalah pilihan terbaik untuk menyediakan pengangkutan awam dalam bandar yang paling cekap.

Selain laju yang dapat menjimatkan masa, perkhidmatan rel dapat mengangkut ramai penumpang dan paling efektif sebagai penyelesaian masalah kesesakan jalan raya di dalam bandar.  

Di Malaysia, perkhidmatan rel merangkumi rel berat (termasuklah rel kelajuan tinggi), LRT, monorel dan aliran landasan pelbagai fungsi.

Di bawah Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat, rangkaian rel terus menjadi tunjang sistem pengangkutan awam sedia ada dan masa depan Malaysia.

Menurut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), jumlah penumpang tahunan rel di seluruh Malaysia bagi tahun 2014 berjumlah 230 juta orang.

Penggunaan rel juga mencatatkan peningkatan tertinggi di antara semua mod pengangkutan awam bandar berdasarkan perangkaan penumpang daripada pengendali rel.

Bilangan penumpang harian bagi perkhidmatan rel bandar meningkat sebanyak 8.5 peratus kepada 631,988 penumpang pada tahun 2015 berbanding dengan tahun 2011 iaitu 557,921 penumpang. 

Kerajaan terus berusaha untuk menambahbaik rangkaian rel bandar bagi memudahkan penumpang dengan peruntukan berjumlah RM70 bilion untuk membiayai kos infrastruktur, termasuk projek sambungan LRT laluan Ampang/Kelana Jaya ke Putra Heights yang sudah pun beroperasi mulai Khamis lalu.

Laluan LRT 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang (dijangka siap pada suku ketiga, 2020), KVMRT Laluan 1 dari Sg. Buloh ke Kajang (dijangka siap pada bulan Julai 2017) dan KVMRT Laluan 2 dari Sungai Buloh-Serdang ke Putrajaya (dijangka siap pada suku pertama 2022).

Kerajaan juga membuat pelaburan besar bagi menambahbaik rangkaian antara bandar seperti Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Ipoh yang bermula pada tahun 2014.  

Perkhidmatan itu sudah diperluas pada tahun 2015, dengan pengenalan ETS dari Kuala Lumpur ke Padang Besar melalui projek landasan berkembar bermula pada 11 Julai 2015.

Dalam jangka panjang, kerajaan melalui SPAD memacu integrasi serantau menambahbaik infrastruktur pengangkutan awam, bagi memastikan perjalanan yang lancar dan selesa untuk rakyat dengan projek seperti Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Sistem Rapid Transit (RTS), yang menghubungkan Johor Bahru ke Singapura.

INFO

Rel berat

Pada masa ini, sistem rel berat ini paling banyak digunakan untuk pengangkutan penumpang antara bandar dan muatan dan pengangkutan awam.

Komuter 

  • KTM Komuter diperkenalkan pada tahun 1995 untuk menyediakan perkhidmatan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
  • Perkhidmatan kemudiannya diperkenalkan di utara Semenanjung Malaysia negeri Kedah, Perak dan Pulau Pinang pada September 2015 selepas selesai Ipoh-Padang Besar Elektrik dan projek landasan berkembar. 
  • Komuter yang digunakan adalah unit elektrik pelbagai berhawa dingin. Kemudahan 'Park & Ride' disediakan di stesen dengan bayaran berpatutan.

KTM Antara Bandar

  • KTMB juga mempunyai KTM antara bandar iaitu perkhidmatan antara bandar sepanjang Semenanjung Malaysia hingga ke Singapura dan Thailand
  • Kebanyakan perkhidmatan beroperasi dari Stesen Sentral Kuala Lumpur. 
  • Beberapa beroperasi sepanjang laluan Pantai Timur antara Tumpat dan Gemas dan seterusnya ke Singapura. 
  • Ada juga kereta api merentas sempadan pada setiap hari antara Butterworth, Pulau Pinang dan Hat Yai, Thailand.

ETS

  • ETS adalah perkhidmatan kereta api menggunakan unit kereta api elektrik. 
  • Kereta api bergerak sehingga 160 kilometer sejam. Aliran elektrik bersambung dengan landasan kereta api tetapi perkhidmatan ini bukanlah kereta api berkelajuan tinggi. 
  • Perkhidmatan antara KL Sentral dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

LRT

  • LRT digunakan untuk pengangkutan dalam bandar.
  • Projek Penyambungan Jajaran Sistem LRT laluan Kelana Jaya dan Ampang yang beroperasi sepenuhnya Khamis lalu membabitkan pelaburan  RM8 bilion
  • 3 Penyambungan jajaran itu adalah tambahan 300,000 penumpang sehari meliputi 170,000 penumpang dari Laluan Kelana Jaya dan 130,000 lagi dari Laluan Ampang-Sri Petaling.

MONOREL

  • Digunakan untuk pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Bandar Raya Melaka sejauh 1.6 km.
  • Namun, monorel di Melaka yang asalnya untuk pelancong menyusuri Sungai Melaka, kini ditutup berikutan pelbagai insiden kemalangan.

Info pengangkutan rel semasa

  • Rangkaian pengangkutan awam darat meliputi 278 km dengan 115 stesen
  • KTMB Komuter - 157 km membabitkan 50 stesen dengan kekerapan 15 minit.
  • Kelana Jaya (Putra LRT1) 29 km membabitkan 24 stesen dengan kekerapan tiga minit
  • Ampang (STAR) LRT2 sejauh 27 km membabitkan 25 stesen dengan kekerapan antara 3 hingga 5 minit
  • Monorel adalah rel bandar sejauh 8.6 km dengan 11 stesen dan kekerapan setiap lima minit
  • KLIA rel sub bandar sejauh 57 kilometer membabitkan lima stesen dan kekerapan 15 minit

Sejarah

  • Pengangkutan rel bermula pada tahun 1885 dengan pembukaan aliran kereta api pertama di antara Taiping dengan Port Weld (sekarang Kuala Sepetang).
  • Kerja-kerja pembinaan aliran ini dimulakan dalam tahun 1882 dan seluruh kos pembinaan bernilai RM37,075 (STG7000) yang ditanggung oleh Kerajaan Perak. 
  • Tujuan utama pembinaan rangkaian rel itu adalah untuk menghubungkan antara kawasan perlombongan di Larut dengan pelabuhan Port Weld. Aliran kereta api itu juga menyenangkan perjalanan keluar masuk buruh dan pelombong ke tempat pekerjaan.
  • Rangkaian landasan kereta api meliputi semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Terengganu.
  • Sabah mempunyai landasan kereta api dimiliki oleh Jabatan Kereta Api Negeri Sabah manakala Sarawak tidak mempunyai perkhidmatan kereta api. 
  • Pada tahun 1905 landasan kereta api dari utara ke selatan dibina yang menghubungkan stesen Butterworth ke Melaka. 
  • Pada tahun 1910 rangkaian kereta api dari Utara hingga ke Johor Bahru siap dibina. 
33 dibaca
Berita Harian X