Selasa, 5 Julai 2016 | 12:30pm

Ayu teruja ada lagu raya sendiri

AYU Damit. - Foto Halimaton Saadiah

KUALA LUMPUR: Ketibaan Aidilfitri tahun ini nyata lebih bermakna buat penyanyi, Ayu Damit, apabila beliau tampil bersama lagu rayanya sendiri.

Berjudul Ukhuwah Lebaran Di Aidilfitri, lagu raya pertamanya itu dirakam ibu kepada tiga anak ini pada minggu kedua puasa. Ia hasil sentuhan komposer Amirainnur dengan muziknya dihasilkan Awi Rafael.

"Ayu memang sangat teruja apabila pihak pengurusan Ukhwah Enigma Management memberikan peluang kepada Ayu untuk merakamkan lagu raya sulung sejak bergelar artis rakaman.

"Lagu ini berkisar mengenai ukhuwah dan perpaduan kita sesama umat Islam. Tanpa mengira pangkat dan kedudukan, semua bergembira menyambut lebaran," katanya yang mengharapkan lagu terbabit akan diterima baik oleh peminat.

Kata penyanyi kelahiran pertandingan realiti One In A Million itu, selama ini beliau hanya mendengar mahupun menyanyikan raya dendangan artis lain.

"Kini, Ayu secara peribadi boleh berbangga kerana sudah pun mempunyai lagu raya sendiri," kata penyanyi ini yang genap setahun mengenakan hijab.

Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri, Ayu berkata beliau akan pulang ke kampung suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, di Kuala Kangsar, Perak.

"Ayu dan suami beraya di sana tidak lama. Pada raya kedua Ayu sudah ada kerja di ibu kota. Insya-Allah, dalam minggu kedua raya, Ayu sekeluarga akan pulang ke Sabah pula," katanya yang dijangka muncul dengan single terbaharu selepas ini berjudul Beauty Till Jannah.

Berita Harian X