Selasa, 5 Julai 2016 | 4:42pm

KPDNKK terus pantau harga barangan

TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Henry Sum Agong membuat tinjauan sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri di Pasar Awam Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan terus memantau harga barangan keperluan walaupun di luar musim perayaan. 

Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong, berkata ia bagi memastikan harga barangan sentiasa stabil walaupun selepas musim perayaan.

"Kaunter tetap juga akan ditempatkan di premis perniagaan bagi tujuan aduan sekiranya ada peniaga didapati menaikkan harga barangan," katanya ketika ditemui sewaktu membuat tinjauan sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri di Pasar Awam Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, hari ini. 

Sementara itu, Henry berkata, dari 16 Jun hingga 4 Julai lalu, sebanyak 397 kes kesalahan peniaga runcit dan borong dikesan membabitkan kompaun sebanyak RM57,861.60. 

"Semua kesalahan itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan pemantauan terus dijalankan bagi mengesan peniaga yang tidak bertanggungjawab," katanya. 

Henry berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan. 

"Peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan serta meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain.

Beliau berkata, bagi syarikat yang gagal mematuhi harga ditetapkan pula akan dikenakan denda RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

"Bagi peniaga yang gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pula bakal berdepan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu atau maksimum RM20,000 atau kompaun RM10,000 bagi syarikat," katanya.

Beliau menambah, sekiranya ada peniaga tidak mematuhi peraturan ditetapkan, pengguna boleh menyalurkan aduan ke talian bebas tol KPDNKK 1-800-886-800 atau emel ke [email protected].

Berita Harian X