Selasa, 5 Julai 2016 | 11:08pm

Sultanah Pahang berkenan rasmi pra pelancaran Villa SAS

KUANTAN: Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom berkenan merasmikan pra pelancaran Villa Sultan Ahmad Shah (SAS) di Jalan Teluk Sisek, dekat sini, malam tadi.

Majlis pra pelancaran itu adalah hasil inisiatif Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang, Datuk Seri Johny Ch'ng Ewe Gee.

Pada majlis itu, Sultanah Hajjah Kalsom dan Tengku Fahd turut beramah mesra dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 120 anak yatim dari sekitar daerah ini.

Sementara itu, Ch'ng ketika ditemui media selepas majlis berkenaan berkata, pra pelancaran Villa SAS adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang MCPF dan Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah (SASET) untuk menyediakan pusat sehenti bagi melaksanakan pelbagai program khusus untuk golongan memerlukan.

"MCPF dan SASET akan menganjurkan pelbagai program berteraskan kesedaran anti jenayah di sini secara berperingkat.

"Selain bercadang menganjurkan kem untuk pelajar peringkat rendah dan menengah yang mempunyai masalah disiplin, kita juga akan menganjurkan tuisyen percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Kita harap, program ini dapat memberikan faedah kepada semua pihak, terutamanya pelajar dan ia juga sebahagian usaha MCPF menyahut cabaran kerajaan dalam membanteras gejala penagihan dadah dan kegiatan buli yang sering berlaku di sekolah sejak akhir-akhir ini," katanya.

Beliau juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Pelajaran Pahang bagi memudahkan proses mengenal pasti pelajar yang sesuai untuk menyertai kem yang akan diadakan di Villa SAS menjelang cuti persekolahan akan datang. 

Berita Harian X