Rabu, 6 Julai 2016 | 10:00am

Isuzu MU-X jimat bahan api


Pemanduan SUV enjin diesel lebih seronok, selesa. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KELEBIHAN ditawarkan oleh Isuzu MU-X sama ada dari segi ruang, prestasi mahupun penjimatan bahan api ternyata menjadikan pemanduan kenderaan utiliti sukan (SUV) berenjin diesel ini sebagai satu pengalaman yang selesa serta menyeronokkan.

SUV yang dilancarkan secara rasmi pada awal Jun tahun lalu yang mewarisi kehebatan genetik generasi kedua trak pikap, Isuzu D-Max.

Isuzu MU-X yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand menampilkan bentuk seimbang dan kemas dengan garis rekaannya dilihat bergerak lancar dari bahagian depan ke belakang dalam bentuk baji.

Karakter rekaan diserlahkan menerusi penggunaan dapra maskular bagi menawarkan aliran udara yang dinamik pada bahagian atas roda, selain membantu menghalang percikan air.

Biarpun mewarisi genetik Isuzu D-Max, rekaan depannya sangat berbeza dan menonjol dengan padanan perumah lampu utama projektor serta lampu nyalaan siang LED hadir sebagai ciri standard bagi varian 4x4.

Lebih tegap

Pintunya turut menampilkan garis Katana Isuzu D-MAX, namun SUV ini menerima garis karakter yang lebih ketara. Di bahagian belakang pula, bukaan pintu belakang yang tinggi dan luas memberi kemasukan maksimum ke ruang kargonya.

Pintu belakang boleh dibuka dengan menekan butang elektronik yang tersembunyi serta dilengkapi spoiler kecil pada bahagian atas cermin untuk mengurangkan kotoran.

Ia tampak lebih tegap dengan padanan rim aloi bersaiz 17 inci pada varian 4x4 yang turut memiliki keupayaan untuk mengharung apa jua permukaan jalan dengan yakin.

Sebaik menjengah masuk ke dalam kabinnya, jentera ini mempunyai ruang luas untuk tujuh penumpang dengan didatangkan kemasan kulit berkualiti tinggi bagi memberi sentuhan mewah kepada ruang dalamannya.

Tempat duduk pemandu didatangkan dengan talaan elektrik dan kebanyakan butang mudah dicapai ketika memandu.

Ia juga sesuai dengan cuaca panas di negara ini apabila barisan kedua dan ketiga dilengkapi corong penyaman udara pada bahagian bumbung.

Sistem turbo geometri boleh ubah

Sistem audio yang boleh disambung Bluetooth, ciri 'mirror link' untuk telefon pintar, WiFi untuk melayari internet, navigasi dan kamera undur membuatkan penulis berasa lebih 'rileks' ketika memandu uji MU-X dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Malah, bumbung barisan kedua dipadankan dengan monitor DVD yang boleh dilipat untuk memainkan filem digemari.

Bagi menukar pacuan rodanya, butang di bahagian tengah perumah gearnya boleh ditukar pacuan dua roda (2H) kepada empat roda (4H) pada kelajuan mencecah 100 kilometer sejam (km/j), tetapi perlu memberhentikan kenderaan jika mahu menukar mod 4L.

Kelebihan enjin diesel commonrail 2.5 liter 4JK1-TCX empat silinder yang ditawarkan dengan menampilkan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS) membuatkan sesiapa saja yang memandu pasti teruja.

Enjin yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 100 kW dan kilasan 320 Nm serendah 1,800 rpm ini turut diuji dalam pemanduan lebih 1,800 kilometer dari Bangkok, Thailand ke Singapura dengan kurang setangki bahan api, sebelum ini.

Penjimatan maksimum

Ia ternyata benar apabila pemanduan lebih 500 kilometer sekadar menggunakan separuh tangki dan amat sesuai untuk pemanduan santai bersama keluarga pada kelajuan antara 120 sehingga 140 km/j.

Kekurangan kuasa itu bertujuan memberi kelebihan dalam penjimatan minyak yang maksimum.

Roda belakang pula menggunakan khidmat suspensi jenis 'five-link active' untuk meningkatkan keselesaan dan pada masa sama memberi keyakinan di selekoh.

Selain dilengkapi ciri keselamatan pasif dan aktif yang terkini, kerangka kenderaan ini diperkukuhkan dengan keluli regangan tinggi.

Tiang B dan bahagian tengah transmisi 'Tailor Blank' dipateri lebih kukuh, selain pintunya dipasang dengan bar keluli binaan dalam sebagai perlindungan tambahan jika berlaku perlanggaran dari arah sisi.

INFO:

Spesifikasi:

  • Enjin 2.5 Liter VGS Turbo
  • Kuasa maksimum 136 PS
  • Kilasan maksimum 320 Nm
  • Transmisi lima kelajuan automatik
  • Ciri keselamatan - Dua beg udara, ABS, ESC, EBD, BA dan TCS
  • Harga dari RM162,100
Berita Harian X