Rabu, 6 Julai 2016 | 10:10am

Remaja maut nahas malam raya


KEADAAN kereta Honda Accord yang dipandu Ku Muhd Firdaus Ku Fairos Nizam yang remuk akibat kemalangan.

ARAU: Seorang remaja maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta yang mereka naiki melanggar pengadang jejambat di Kilometer 18 Jalan Changlun-Kuala Perlis, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 9.30 malam, Ku Muhd Firdaus Ku Fairos Nizam, 18 dari Kodiang, Kedah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Nahas dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Accord yang dipandu Firdaus hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pengadang jejambat dan tiang elektrik.

Kesan kemalangan itu juga menyebabkan rakan Firdaus, Muhammad Syamil Shahidan, 18 dari Taman Sanji, dekat sini, patah paha kanan dan bahu kiri.

Syamil dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk awatan manakala mayat Firdaus dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

123 dibaca
Berita Harian X