Rabu, 6 Julai 2016 | 5:32pm

Bekas Ketua Unit Berita Bahasa Inggeris TV3 meninggal dunia


ANAK bekas Ketua Unit Berita Bahasa Inggeris TV3 Allahyarham Othman Abu Bakar, Nur Liyana (kiri) menyiram air mawar sambil diperhatikan adiknya Nur Amani (tiga dari kanan) di pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cherakah. - Foto Rosdan Wahid

SHAH ALAM: Bekas Ketua Unit Berita Bahasa Inggeris dan Bisnes TV3, Othman Abu Bakar, meninggal dunia pagi tadi akibat barah paru-paru.

Othman, 58, yang disahkan menghidap barah paru-paru tahap empat pertengahan Februari lalu, meninggalkan isteri, Fadilah Jantan, 48, dan dua anak perempuan.

Allahyarham yang sebelum ini berkhidmat sebagai Penulis Khas akhbar New Straits Times (NST) pada 1988 hingga 1994, meninggal dunia di kediamannya di Bandar Puncak Alam, di sini, jam 8.15 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Othman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Bukit Cherakah, dekat sini kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Turut menziarahi jenazah, penulis blog, Datuk Ahirudin Attan dan Pengerusi Yayasan Salam yang juga bekas Pengarah Eksekutif Media Prima Bhd, Datuk Ahmad A Talib.

Sementara itu, anak Allahyarham, Nur Liyana, 19, berkata bapanya meninggal dunia ketika beliau dan adiknya, Nur Amani, 17, sedang membersihkan badan Allahyarham.

"Bapa tidak boleh berjalan selepas menjalani pembedahan memasang plat titanium pada tulang belakangnya dua minggu lalu," katanya.

Ahirudin berkata, beliau mengenali Othman ketika bersama-sama bertugas di Business Times (BT) pada tahun 1980-an.

"Walaupun Othman tidak mempunyai latar belakang kewartawanan sebelum menyertai NST, beliau terus menjadi wartawan hingga ke akhir hayatnya.

"Beliau seorang yang berdedikasi dalam pekerjaannya. Ketika itu kami sering bermain bola sepak bersama.

"Beliau pernah bekerja dengan The Edge tetapi melepaskan jawatannya untuk menjaga kedua-dua ibu bapanya namun terpaksa berhenti berbuat demikian selepas disahkan menghidap barah paru-paru," katanya.

Ahirudin berkata, selepas mengetahui beliau menghidap barah, Othman memohon untuk menjadi pemberita sambilan dengan portal berita The Mole, dan beliau menulis mengenai pasaran saham.

Malah, katanya, Othman lebih risaukan artikel yang sedang diusahakan berbanding dengan rawatan kemoterapi yang perlu dilaluinya.

Ahmad pula berkata, kali pertama mengenali Othman ketika mereka sama-sama bertugas dengan BT dan pemergian Othman amat dirasainya.

"Orang ceria mudah berkawan. Selepas mengetahui mengenai penyakitnya, saya dan beberapa rakan merancang projek untuk membantunya.

"Bagaimanapun, kami tidak sempat melaksanakan projek yang dirancang selepas Aidilfitri ini.

"Othman adalah seorang rakan yang rapat dan suka berkongsi ilmu serta pengalamannya," katanya.

36 dibaca
Berita Harian X