Sabtu, 9 Julai 2016 | 8:23am

Persekitaran, genetik punca leukemia menyerang tanpa tanda

LEUKEMIA Limfositik Kronik (CLL), jenis leukemia paling biasa menyerang dalam kalangan orang dewasa. Ia merangkumi sekitar 25 hingga 30 peratus daripada semua kes leukemia.

Secara keseluruhannya, kekerapan CLL terjadi adalah tiga dalam setiap 100,000 orang dan dua kali ganda lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

Presiden Persatuan Hematologi Malaysia, Dr Alan Teh, berkata sebahagian besar pesakit CLL terdiri daripada warga tua dan menghidap komplikasi kesihatan yang lain.

"Ini menyebabkan rawatan kemoterapi intensif tidak sesuai untuk mereka," katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bukan Penyakit Warisan

Jelasnya, CLL ialah sejenis kanser darah membabitkan sel darah putih limfosit.

"Keadaan ini dirujuk sebagai leukemia kerana limfosit berkanser ditemui dalam darah dan tulang sum-sum. CLL terjadi apabila tulang sum-sum menghasilkan terlalu banyak limfosit yang tidak terbentuk dengan sempurna dan tidak berfungsi dengan baik.

"Limfosit yang tidak normal ini membiak dan seterusnya mengelilingi sel darah yang sihat dalam tulang sum-sum.

"Akibatnya, limfosit akan tersebar ke organ berhampiran termasuklah noda limfa, limpa dan hati," katanya.

Katanya, CLL paling biasa bermula dalam limfosit-B iaitu komponen penting dalam sistem imun badan.

"Serangan ini bukanlah penyakit yang diwarisi tetapi mereka yang mempunyai sejarah kejadian CLL atau limfoma lain (kanser yang bermula dalam sel sistem imun) dalam keluarga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapnya," katanya.

Tambahnya lagi, CLL biasanya muncul sebagai penyakit yang lambat berkembang (indolen) dan biasanya membabitkan warga tua.

"Dianggarkan 70 hingga 80 peratus pesakit mula didiagnosis dengan CLL selepas umur 55 tahun," katanya.

Tidak tunjuk simptom awal

Dr Alan berkata, memandangkan CLL adalah penyakit yang lambat berkembang, menjadi sebab lebih kurang 40 hingga 60 peratus pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom awal penyakit.

"Selalunya, pesakit tidak mengesan perubahan pada badan mereka. Selain itu, ada juga pesakit menyangkakan simptom yang dialami adalah masalah kesihatan biasa.

"Penyakit ini dikesan menerusi ujian darah rutin ketika pemeriksaan kesihatan biasa. Sebab itulah penyakit ini sering didiagnosis secara kebetulan," katanya.

Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia pada tahun 2007 melaporkan bahawa CLL merangkumi 8.1 peratus daripada kes leukemia limfoid di negara ini.

Memandangkan pesakit CLL mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom selama beberapa tahun, diagnosis mengenainya sukar dilakukan.

Punca tidak diketahui

Sebahagian besar punca berlakunya CLL tidak diketahui. Penyelidikan kini memberi tumpuan kepada beberapa faktor yang menyumbang kepada perkembangan tumor berkanser ini termasuklah faktor genetik, sistem imun yang terjejas dan jangkitan virus.

Dr Alan berkata, pesakit CLL menunjukkan beberapa simptom seperti pembesaran nodus limfa yang tidak menyakitkan pada bahagian leher, ketiak, abdomen dan pangkal peha.

Selain itu, mereka juga mengalami jangkitan berulang disebabkan gangguan fungsi sistem imun badan.

Mereka juga kehilangan berat badan, demam, berpeluh malam dan anemia. Keadaan termasuk kesan kelesuan teruk disebabkan pengurangan sel darah merah.

Kembung pada bahagian abdomen (disebabkan pembesaran limfa) dan tanda pendarahan seperti berdarah semasa memberus gigi dan ketika hembus hidung.

Mengulas mengenai rawatan yang diberikan kepada pesakit, beliau berkata pada masa ini rawatan kemoterapi dan pemindahan sel stem akan dilakukan bergantung kepada keadaan pesakit.

"CLL adalah penyakit yang semakin kerap berlaku dalam kalangan mereka yang sudah berumur. Walaupun kekerapan berlaku di negara Asia masih lagi rendah berbanding di negara Barat, kita masih perlu memandang serius mengenai penyakit ini," katanya.

INFO: Faktor Risiko Hidap CLL

* Umur: Sering berlaku dalam kalangan mereka yang lebih berusia

* Jantina: Lebih banyak dihidapi oleh lelaki

* Persekitaran

* Genetik

Kes CLL di dunia

*Amerika Syarikat : 4.4 pesakit dalam 100,000 orang; 19,000 kes baru setiap tahun

* Eropah Barat : 3.79 pesakit dalam 100,000 orang

* Jepun: 0.48 pesakit setiap 100,000 orang

Prosedur diagnosis

*Ujian darah

*Pemeriksaan lanjutan seperti pemeriksaan tulang sum-sum

Berita Harian X