Sabtu, 9 Julai 2016 | 4:29pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Musa Aman diiringi Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Rumah terbuka Aidilfitri PBS meriah

KOTA KINABALU: Rakyat pelbagai kaum dan agama bersama meraikan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Sembulan, di sini hari ini.

Rumah terbuka bermula jam 9.30 pagi itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin sebagai tetamu kehormat.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan isterinya, Puan Sri Genevieve Kitingan; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili serta pimpinan PBS lain.

Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan sumbangan duit raya PBS kepada penghuni dari Rumah Anak Yatim Tambunan dan Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Papar.

Pairin berkata, sambutan rumah terbuka itu mampu meningkatkan perpaduan dan mengeratkan hubungan persaudaraan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.

"PBS merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana hadir memeriahkan rumah terbuka parti ini, selain orang ramai yang berkunjung sejak pagi.

"Kita juga berterima kasih kepada anggota pasukan keselamatan yang bekerja pada musim perayaan untuk memastikan keamanan rakyat negara ini," katanya dalam sidang media sini, hari ini.

61 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »