Ahad, 10 Julai 2016 | 12:47am
SHAHIR berharap penamat yang terbaik dalam hubungan dengan Erra Fazira. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Shahir harap yang terbaik dalam hubungan dengan Erra Fazira

HINGGA saat ini, spekulasi mengatakan Erra Fazira dan Shahir Zawawi akan mengikat tali pertunangan selepas musim Aidilfitri belum lagi berakhir.

Sekalipun kedua-duanya tampil memberikan kenyataan, namun masih ramai yang percaya, mereka cuba menyembunyikan sesuatu daripada peminat.

Maklum saja, selepas Shahir baru-baru ini secara budiman tampil mengiyakan wujud hubungan intim bersama primadona filem Melayu alaf baharu itu, ramai yang mengharapkan ia membawa kedua-dua artis terbabit ke fasa lebih bermakna.


SHAHIR secara budiman sudah mengiyakan wujud hubungan intim dengan Erra Fazira.

Sebelum ini, hanya Erra yang membuka mulut menjawab segala persoalan selepas gosip mengenai hubungan mereka mula dihidu media.

Shahir yang juga bekas juara Akademi Fantasia musim kelapan itu pula masih berada di kampung halaman di Perak.

Kini, selepas masing-masing mengesahkan hubungan berkenaan, netizen dan peminat terus membuat kesimpulan musim Aidilfitri ini menjadi detik terakhir kedua-duanya memegang status solo. Cerita kononnya Erra dan Shahir akan bertunang selepas raya juga bagai menyokong andaian berkenaan.

Seperti Erra, Shahir yang dihubungi baru-baru ini turut bimbang sikap terbuka mereka akan turut mengundang sisi negatif.


SHAHIR bimbang sikap terbuka akan turut mengundang pandangan negatif. - Sumber Instagram shahirzawawi88

"Dalam hal ini, bukan saya tidak mahu membuka mulut memberikan jawapan. Masalahnya, apabila sesuatu keadaan itu terlalu digembar-gemburkan, maka wujudlah pelbagai tanggapan. Contohnya, majlis pertunangan kami kononnya sudah begitu dekat.

"Kami dilihat seperti menjaja cerita pula, sedangkan belum ada apa-apa perkembangan pun. Niat asal saya selama ini apabila memberikan kenyataan hanyalah untuk keluar daripada 'kepompong', semata-mata untuk menjawab spekulasi kononnya kami akan bertunang selepas raya.

"Selain itu, saya juga tampil mengesahkan status hubungan kami, yang menjadi tanda-tanya kerana Erra saja yang selama ini menjadi sasaran. Saya harus turut bertanggungjawab ke atas perkara berkenaan tetapi selepas pendedahan itu, ramai pula yang melihat seolah-olah majlis bertunang sudah dirancang rapi dan hubungan kami sudah seperti sudah pasti akan ke jinjang pelamin," katanya kepada BH.


ERRA Fazira dianggap primadona filem Melayu alaf baharu. Foto Rohanis Abdul Shukri

Melihat kata-kata orang ramai itu sebagai doa buat mereka, Shahir mengaku dirinya sendiri sudah tentu mengharapkan penamat yang terbaik buatnya.

"Ia satu doa yang baik daripada orang di sekeliling kami. Pastinya juga kalau ada berita baik, ia akan dikongsi. Buat masa ini bagaimanapun memang belum ada apa-apa yang boleh dikongsi dengan orang ramai. Cukup orang di luar sana tahu kami memang rapat. Itu sudah jelas.

"Cuma, kami tidak mahu timbul cerita di belakang nanti yang memperlihatkan kami seperti berbohong apabila ada cerita berbangkit," katanya.

Ditebak sekali lagi dengan soalan apakah mereka bakal berkahwin tahun ini, Shahir hanya mampu berserah.

"Saya hanya mampu berserah kepada Tuhan. Insya-Allah. Doa yang baik saja saya harapkan," katanya.

Sementara itu Shahir turut berkata, selepas sekian lama menyepi, beliau akan membuat 'comeback' tetapi dalam bidang lain. Namun, pemuda berusia 28 tahun itu mahu membiarkan ia terlebih dulu menjadi tanda-tanya.

Erra pula seperti kenyataannya sebelum ini, tidak memberi komen lanjut kerana enggan memanjangkan cerita yang belum pasti.

"Memang tidak ada perkembangan lanjut seperti yang diperkatakan. Apatah lagi kemungkinan itu dan ini. Selagi ia tidak membabitkan orang tua kami, maka apa saja termasuk perbincangan (termasuk untuk bertunang) boleh dikategorikan sebagai angan-angan," kata wanita jelita berusia 42 tahun itu.

Tamat...

Berita Harian X