Isnin, 11 Julai 2016 | 8:59am

Suami isteri maut, 4 anak parah kereta dirempuh

Sepasang suami isteri maut manakala empat anak mereka cedera parah apabila dirempuh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 2.5 Jalan Muar-Labis kira-kira jam 7.20 malam tadi. - Foto Ihsan Bomba

SEGAMAT: Sepasang suami isteri maut manakala empat anak mereka parah apabila kereta dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 2.5, Jalan Muar-Labis, malam tadi.

Mohd Rezal Abdul Karim, 37, dan isterinya, Rozaimah Mahmod @ Mahmud, 41, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat anak mangsa iaitu Nurdurrah Khadeeja, berumur setahun; Nuralisa Yasmin, 11; Muhammad Haziq Iqbal, 13, dan Muhammad Aniq Aiman, 16, yang parah dikejarkan ke Hospital Segamat, untuk rawatan.

Pemandu pacuan empat roda berkenaan, Ezam Abu, 55, yang juga parah dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku jam 7.20 malam apabila sebuah pacuan empat roda yang dipandu dari arah Muar ke Labis tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta yang dipandu mangsa dari arah Labis ke Muar.

"Rempuhan menyebabkan suami isteri yang duduk di bahagian hadapan kereta tersepit dan maut serta-merta di lokasi kejadian.

"Empat anak mangsa yang duduk di bahagian belakang kereta serta pemandu pacuan empat roda berkenaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Segamat," katanya.

Berita Harian X