Isnin, 11 Julai 2016 | 10:12am

Kerajaan Bangladesh arah kolej, sekolah lapor pelajar ponteng


Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.

DHAKA: Bangladesh mengarahkan semua institusi pendidikan di negara itu memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai ketidakhadiran pelajar lebih 10 hari berturut-turut.

Ini berikutan terdapat laporan sebahagian militan yang melancarkan serangan ganas baru-baru ini adalah pelajar yang ponteng kelas selama berbulan-bulan.

Keputusan menuntut senarai pelajar itu dibuat pada mesyuarat pegawai Kementerian Pendidikan, yang dipengerusikan menterinya, Nurul Islam Nahid.

Kementerian kemudian mengeluarkan arahan berhubung perkara itu, menyatakan institusi perlu membuat senarai pelajar yang tidak hadir dan memberikan ia kepada pegawai pendidikan, lapor bdnews24.com.

Perdana Menteri, Sheikh Hasina, merayu ibu bapa memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai anak mereka yang hilang.

"Tiada tolak ansur dalam keganasan di Bangladesh. Kerajaan akan melakukan apa saja untuk menjamin keamanan," katanya dan berjanji akan mengesan mereka yang hilang.

Selepas serangan di kafe di Dhaka pada 1 Julai lalu, polis Bangladesh dan unit Batalion Tindakan Pantas (RAB) mengeluarkan peringatan, berkata tindakan meninggalkan rumah untuk menyertai kumpulan militan kini menjadi aliran dalam kalangan belia.

Selepas serangan itu, ibu bapa kepada 10 lagi belia yang hilang selama beberapa bulan, meminta bantuan polis mencari mereka. - AGENSI

Berita Harian X