Isnin, 11 Julai 2016 | 12:49pm

Seorang lagi mangsa rempuhan maut

Anggota Bomba cuba mengeluarkan mangsa kemalangan maut di Kilometer 2.5 Jalan Muar-Labis. - Foto ihsan Bomba

SEGAMAT: Seorang lagi mangsa rempuhan pacuan empat roda maut ketika dirawat di Hospital Segamat, awal pagi tadi, menjadikan semua tiga maut.

Nuralisa Yasmin Mohd Rezal, 11, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi akibat cedera parah di kepala dan anggota badannya.

Dalam kejadian jam 7.20 malam tadi, ibu bapa Nuralisa Yasmin, Mohd Rezal Abdul Karim, 37, dan Rozaimah Mahmod @ Mahmud, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta mereka naiki dirempuh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 2.5 Jalan Muar-Labis.

Ibu saudara Nuralisa Yasmin, Mazura Marjikon, 42, berkata jenazah anak saudaranya itu sedang diuruskan di Hospital Segamat.

"Sebelum ini, jenazah Mohd Rezal dan isterinya sudah dibawa pulang ke Kampung Mensudut Pindah, Batu Anam dan kami menunggu ketibaan jenazah Nuralisa Yasmin yang juga anak ketiga keluarga mangsa.

"Ketiga-tiga beranak akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mensudut Pinda,h jangkaannya sebelum Asar ini.

"Anak bongsu mangsa, Nurdurrah Khadeeja, 1, dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, pagi tadi bagi rawatan lanjut berikutan parah, manakala abang keduanya, Muhammad Haziq Iqbal, 13, kini kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat," katanya kepada BH.

Mazura berkata, anak sulung pasangan itu, Muhammad Aniq Aiman, 16, pula dalam keadaan stabil dan dimasukkan ke wad biasa bagi rawatan susulan.

Berita Harian X