Isnin, 11 Julai 2016 | 5:24pm

64 pondok pengajian Islam di Terengganu bebas IS


PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.- Foto Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 64 pondok pengajian Islam yang dikenal pasti beroperasi di negeri ini bebas daripada pengaruh kegiatan tidak sihat seperti kumpulan militan Negara Islam (IS) dan penyebaran fahaman Syiah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib, berkata hampir semua institusi pondok berkenaan sudah berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi memudahkan urusan penyaluran sumbangan dan pemantauan oleh pihak berwajib.

Beliau berkata, ia juga bagi membolehkan kerajaan menyeragam dan memastikan kurikulum yang diajar di institusi terbabit selari dan menepati ajaran al-Quran serta hadis.

"Boleh dikatakan hampir semua atau sebahagian besar institusi pondok dan madrasah berdaftar dengan kita dan ia amat baik kerana dapat memudahkan kerja pemantauan dan pemberian sumbangan termasuk daripada Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM).

"Daripada pemantauan, kita jamin bahawa institusi pondok di negeri ini bebas daripada anasir tidak sihat seperti penyebaran fahaman Syiah atau IS yang menjadi ancaman kepada masyarakat dan imej Islam.

"Selepas ini, kita akan mengadakan perjumpaan dengan semua pengetua atau mudir madrasah serta pondok di negeri ini bagi membincangkan pelbagai hal berkaitan," katanya selepas melakukan lawatan ke Madrasah Al Hidayah di sini, hari ini.

Ghazali berkata, kerajaan negeri juga sentiasa memantau ketat kemasukan tenaga pengajar dari negara luar seperti Mesir atau Yaman ke negeri ini bagi mengelak penyebaran ajaran yang bertentangan ajaran atau pegangan mazhab Imam Shafie.

Justeru, katanya, beberapa rakyat Terengganu yang disahkan terbabit kegiatan keganasan IS bukan direkrut di negeri ini tetapi negara luar yang menjadi pusat militan.

52 dibaca
Berita Harian X