Selasa, 12 Julai 2016 | 12:08am
JULIANA genap berusia 27 tahun pada 5 Julai . - Foto Halimaton Saadiah
JULIANA pernah menyepi selama tiga tahun daripada seni kerana melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat. - Foto Salhani Ibrahim
JULIANA Evans melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat, demi menggenggam ijazah Filem, Video & Pengajian Media daripada Universiti Western Michigan. - Foto Aziah Azmee

Akui bercinta dengan kerabat, Juliana nak kahwin sebelum usia 30 tahun

PELAKON berdarah kacukan, Juliana Evans, selama ini cuba membiarkan bakat seninya diperkatakan berbanding kisah peribadi. Walaupun ada masa gosip cinta membabitkan dirinya tetap disiarkan, seboleh-bolehnya gadis cantik ini lebih senang berbicara mengenai kerjaya.

Begitupun, baru-baru ini, Juliana atau lebih mesra disapa Jue membuka mulut mengenai hubungannya bersama seorang kerabat diraja. Dua bulan lagi, hubungan itu akan genap setahun usianya.

Dia pula terbuka untuk bercakap mengenai perkara itu selepas foto bersama lelaki kacak yang dimuat naik ke laman Instagramnya mula diperkatakan. Cuma, akui bintang Hantu Bonceng dan Mael Lambong ini, dia belum terfikir soal perkahwinan bersama insan yang bertakhta di hatinya.


PELAKON, Juliana Evans. - Foto Halimaton Saadiah

"Buat waktu ini, saya selesa menikmati kehidupan sebegini terlebih dulu. Saya belum lagi bersedia ke arah itu (perkahwinan). Saya juga tidak tertekan melihat seorang demi seorang rakan artis berkahwin. Insya-Allah, setiap perkara baik pasti akan dipermudahkan.

"Masih banyak perkara yang ingin saya lakukan sebelum diri terikat dengan sesiapa. Saya sendiri tidak perlu terkejar-kejar dalam soal itu. Mama juga tidak memaksa saya segera mendirikan rumah tangga. Namun, jika diizinkan Tuhan, saya ingin mempunyai keluarga sendiri sebelum usia 30 tahun," katanya.

Mengakui bukan mudah untuk menemui lelaki yang benar-benar serasi dengannya, Jue berkata, dia pastinya berhati-hati dalam percintaan.

Menjawab mengenai keterbukaannya berkongsi soal perasaan, Jue mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian. Baginya, cukuplah sekadar mengakui dirinya sedang bercinta.

Katanya juga, tidak perlu dirinya bersikap hipokrit terhadap peminat dan membiarkan perkara itu terus menjadi teka-teki.

Genap 27 tahun pada 5 Julai, faktor peningkatan usia juga mendorongnya menjadi sedikit terbuka dan matang.


JULIANA Evans belum terfikir soal perkahwinan bersama insan yang bertakhta di hatinya. - Foto Halimaton Saadiah

"Saya bersikap terbuka dalam soal peribadi kerana tidak mahu mengundang interpretasi bukan-bukan. Selalunya, orang akan fikirkan pelbagai perkara. Sebelum ini umpamanya, saya sering dikaitkan dengan Zizan Razak. Biarpun tiada apa antara kami, hingga sekarang masih ada yang anggap kami tak mengaku bercinta.

"Orang ramai boleh membuat pelbagai tanggapan. Jadi, daripada wujud cerita bukan-bukan, saya kini bersedia untuk menjadi lebih terbuka. Saya jujur untuk berkongsi sedikit cerita peribadi," katanya.

Berkongsi perihal kerjaya, Jue melihat profesion diceburi berkembang dengan sangat memberangsangkan.

Pernah menyepi selama tiga tahun daripada seni kerana melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS), demi menggenggam ijazah Filem, Video & Pengajian Media daripada Universiti Western Michigan, Jue tidak menyangka kepulangan ke dunia lakonan di tanah air masih diterima.

"Saya bersyukur dan tak sangka masih diterima sebagai anak seni. Malah, tawaran berlakon juga tidak pernah putus-putus diterima. Pada mulanya risau juga sama ada saya akan diterima semula apabila pulang dari AS. Maklumlah, ramai sangat muka baharu yang muncul. Saat itu, timbul macam-macam persoalan, adakah peminat dan penggemar seni masih mempedulikan saya?

"Artis baharu sekarang pun ramai. Ramai pelakon cantik dan kacak yang menghiasi dunia seni kita. Begitupun, saya melihat semua itu sebagai saingan positif. Saya tak bersaing dengan sesiapapun," katanya yang masih menunggu dua filem lakonannya, Bella & Jamie serta 7 Dimensi Aliff ditayangkan, tahun ini.

Berita Harian X