Selasa, 12 Julai 2016 | 2:37pm

Penduduk Eropah bimbang pertambahan jumlah pendatang

Pelarian perang memasuki benua Eropah untuk perlindungan. - Gambar hiasan/carnegieeurope.eu

BERLIN: Majoriti penduduk Eropah bimbang kehadiran ramai pelarian baru-baru ini meningkatkan risiko serangan pengganas dan negara mereka terpaksa menyediakan kerja dan faedah sosial kepada golongan itu.

Tinjauan oleh Pusat Penyelidikan Pew di seluruh negara Eropah menunjukkan peningkatan kebimbangan mengenai kebanjiran bersejarah lebih sejuta pemohon suaka tahun lalu dan integrasi kumpulan minoriti, umat Islam terutamanya.

Di lapan daripada 10 negara yang dikaji, mewakili 80 peratus penduduk Eropah, sekurang-kurangnya separuh percaya kehadiran pelarian meningkatkan kemungkinan keganasan di negara mereka.

Pandangan itu dipegang kuat, oleh 76 peratus responden, di Hungary dan 71 peratus di Poland, kedua-dua negara menerima tidak ramai pendatang kerana kerajaan pendirian tegas kerajaan masing-masing terhadap pelarian.

Di Jerman, ekonomi terbesar EU yang menerima kumpulan pendatang dan pelarian terbesar, 61 peratus penduduk berkongsi kebimbangan itu, manakala 60 peratus rakyat Itali dan 52 peratus penduduk Britain meluahkan kebimbangan sama.

Bagaimanapun di Perancis, negara yang digegarkan dengan serangan militan pada 2015, cuma 46 peratus berasakan bahaya serangan akan meningkat.

Secara umum, Pusat Pew mendapati ramai penduduk Eropah mengaitkan krisis pelarian dan ancaman keganasan. - AFP

Berita Harian X