Selasa, 12 Julai 2016 | 6:15pm

Afgan jayakan konsert di ibu kota September depan

PELANCARAN Tiket Konsert AFGAN. - Foto Ihsan PEMBACA

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan, bakal menghiburkan peminat tempatan menerusi konsert Afgan Sides Live In Malaysia 2016 pada 3 September depan.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan, di sini, konsert berkenaan diadakan bagi mempromosikan album baharunya, Sides.

"Muzik Sides lebih matang dan pelbagai berbanding dengan beberapa album terdahulu. Menerusi buah tangan terbaharunya juga, Afgan menggabungkan unsur blues, elektronik dan orkestra dalam muziknya.

"Pada konsert itu nanti, Afgan akan mempersembahkan lagu baharu selain karya lama yang menjadi kegemaran peminat Malaysia," kata wakil penganjurnya, Dazzling Lifestyle.

Konsert penyanyi yang dikenali dengan lagu Entah, Bukan Cinta Biasa, Terima Kasih Cinta dan Jodoh Pasti Bertemu itu akan berlangsung pada jam 8 malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Tiket dijual pada harga RM188 (Gangsa), RM288 (Perak), RM388 (Emas), RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM788 (Diamond VIP untuk pakej sesi bertemu peminat).

Seramai 500 pembeli awal layak menikmati diskaun 10 peratus bermula 11 Julai hingga 17 Julai ini, untuk mana-mana kategori tiket, kecuali Diamond VIP.

Tiket boleh didapati melalui Ticket Charge di www.ticketcharge.com.my atau dengan menghubungi 03-92228811.

Bagi peminat yang yang ingin mendapatkan tiket Diamond VIP pula, mereka boleh menghubungi talian 03-79825523.

Berita Harian X