Rabu, 13 Julai 2016 | 2:08pm

Kami hanya gaduh biasa - Dira

PELAKON, Dira Abu Zahar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Dira Abu Zahar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengarah, Dira Abu Zahar menjelaskan perselisihan faham dalam rumah tangganya sebagai pergaduhan yang biasa dilalui pasangan suami isteri.

Dira atau nama sebenarnya Khaidirah Abu Zahar, 32, berkata kisah peribadi tidak perlu digembar gemburkan atau dikecohkan kepada khalayak terutama apabila membabitkan hal perkahwinan.

Bekas pengacara program Melodi itu sebelum ini mengunci mulut daripada menjawab gosip perpisahan dengan pengarah fotografi, Helmi Yusof yang dibina lima tahun lalu sudah berakhir.

"Tiada apa mengenai isu rumah tangga saya yang perlu dikecohkan kerana ia adalah perselisihan faham biasa saja," ulasnya ringkas kepada BH Online menerusi aplikasi Whatsapp.

Terdahulu, sebuah portal hiburan tempatan menerusi ruangan gosip mendakwa Dira dan suaminya, Helmi Yusof sudah bercerai pada awal Ramadan lalu.

Beliau juga dikatakan mengalami tekanan hingga dikejarkan ke hospital dan ditahan selama seminggu disebabkan kemurungan yang dialaminya.

Menerusi artikel sama, kemelut rumah tangga mereka dikatakan berpunca daripada penajaan filem Bikers Kental yang membangkitkan beberapa isu dan akhirnya menjurus kepada perceraian.

Dira dan pengarah fotografi itu bergelar suami isteri pada 11 November 2011 di Masjid Merlimau Pasir, Mat Yamin Long, Melaka namun belum dikurniakan cahaya mata.

Aktres yang turut mencipta nama di arena pengacaraan itu mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Berita Harian X