Khamis, 13 November 2014 | 2:51pm

Format Piala Monsun diubah tahun ini

KUALA LUMPUR: Format kejohanan kapal layar antarabangsa Piala Monsun akan diubah mulai tahun ini dengan peringkat pertama dikenali sebagai Piala Monsun Terengganu di Pulau Duyong, Terengganu dari 19 hingga 22 November ini.

Perlumbaan tersebut membabitkan pelayar utama dari Asia Pasifik memburu tempat ke kejohanan utama dikenali sebagai Piala Monsun Malaysia di Johor dari 10 hingga 14 Februari 2015.

Pemegang hak kejohanan, Innovatige Sdn. Bhd., dalam kenyataan hari ini, berkata Piala Monsun Malaysia akan menampilkan 12 pasukan termasuk juara Piala Monsun Terengganu dan pasukan baharu, 1Malaysia Match Racing.

Piala Monsun Malaysia adalah sebahagian daripada siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT).

Pengerusi Innovatige, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim berkata pembentukan pasukan 1Malaysia Match Racing itu akan memberi pelayar tempatan peluang untuk bersaing dan mempelajari daripada pelayar bertaraf dunia khusus daripada rantau Asia Pasifik. - BERNAMA

Berita Harian X