Rabu, 13 Julai 2016 | 5:10pm

Rakan tahu di mana 'Kemik' sembunyi


TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman menunjukkan gambar M Suhaimi Mohd pada sidang media di Kuala Terengganu, 11 Julai lalu. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: Polis percaya rakan pemandu kereta Perodua Kancil, M Suhaimi Mohd atau lebih dikenali sebagai Kemik yang dipercayai terbabit dalam kes tetak di Jalan Buluh Gading, di sini, pada Khamis lalu mengetahui tempat persembunyiannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah, berkata pihaknya meminta bantuan rakan suspek untuk memberitahu polis atau memujuknya menyerah diri bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin dapat menjejak dan menahan suspek berusia 31 tahun yang memiliki rekod lampau membabitkan kes mencederakan orang.

"Kita percaya suspek masih berada di kawasan Manir dan kawan-kawannya mungkin tahu di mana dia menyorok.

"Sehubungan itu, kita meminta rakan suspek memberi kerjasama atau suspek menyerah diri kepada polis bagi membantu menyelesaikan kes tetak ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, di sini, hari ini.

Dalam kejadian di Jalan Buluh Gading pada 7 Julai lalu, seorang pemandu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas ditetak dengan parang oleh seorang lelaki selepas membunyikan hon kepada lelaki terbabit yang memotong keretanya.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 42 tahun yang memandu Honda City bersama isteri dan dua anaknya terkandas dalam kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk beraya dari Kemaman ke Besut jam 3.30 petang.

Insiden dipercayai berlaku selepas mangsa membunyikan hon keretanya sebaik kenderaan suspek mencelah dan memotong kereta mereka sebelum berlaku pergelutan mengakibatkan mangsa ditetak.

Wan Abd Aziz berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan penumpang kereta berusia 30 tahun yang dipercayai bersama suspek pada Sabtu lalu jam 2.30 pagi di sekitar kawasan Manir.

"Susulan itu, abang suspek yang berusia 39 yang juga pemilik kereta Perodua Kancil turut ditahan di rumahnya di Kampung Kubang Jela, Manir bagi membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X