Khamis, 13 November 2014 | 3:00pm
Antara pelakon yang hadir ketika sidang media memperkenalkan teater ini di Bora Ombak, Ampang. - Foto Nashairi Mohd Nawi

Erra Fazira berani ambil risiko

Erra Fazira - Foto Nashairi Mohd Nawi

KUALA LUMPUR: Biar berisiko mengisi slot pementasan di Istana Budaya pada minit akhir, Erra Fazira menerusi syarikat Erra Fazira Entertainment berani menyahut cabaran untuk menerbitkan teater Takhta 3 Ratu.

Tidak keseorangan, Erra bergabung dengan syarikat Awie Entertainment milik Awie serta Rumah Karya Citra Sdn Bhd kepunyaan Erma Fatima. Teater ini akan dipentaskan mulai 13 hingga 22 Disember depan di pentas berprestij berkenaan.

Sebelum diterjemahkan ke pentas teater, judul yang sama sudah diterbitkan menerusi versi drama tetapi masih belum disiarkan. Beberapa pelakon yang terbabit untuk teater ini adalah pelakon asal versi drama.

Soo Wincci, Erra Fazira dan Izreen Azminda teraju utama teater Takhta 3 Ratu. - Foto Nashairi Mohd Nawi

Erra, Awie, Soo Wincci, Ellie Suriaty dan Datuk Rahim Razali antara wajah asal. Selain itu teater arahan Erma Fatima ini turut dibintangi Izreen Azminda, Azri Iskandar, Beto Khusyairi, Remy Ishak, Mior Hashim Manap, Tasha Shilla dan Michael Ang.

"Pelbagai perkara sudah dipertimbangkan sebelum kami nekad mahu mementaskan teater ini. Faham-faham sajalah akhir tahun, bajet pun tak ada. Daripada sudut kami sebagai penerbit dan bakal penonton pun kira sama apabila bercakap soal bajet ini.

"Yalah, dengan anak yang bakal memulakan sesi persekolahan lagi, itu semua perlu duit. Tapi kami berharap sokongan penggemar teater, dunia seni termasuk rakan media akan terus menjadi kelangsungan kepada apa yang kami mahu lakukan," kata Erra yang turut memegang peranan sebagai Tun Teja untuk teater ini.

Tambah ibu kepada Engku Aleesya ini, keputusan untuk menerbitkan teater ini juga bertitik tolak kepada kekuatan cerita ini yang memberi tumpuan kepada sudut pandang cerita tiga ratu, Galuh Chenderai, Lela Wangsa dan Puteri Hang Li Po.

"Selain itu, semangat Kak Erma juga antara yang mendorong semua ini terjadi. Kalau siapa kenal wanita bernama Erma itu pasti tahu cara dia bekerja. Saya sendiri perlu belajar bersilat untuk tempoh singkat. Selama ini adalah asas Taekwondo.

"Ia benar memberi cabaran dan tekanan buat kami kerana semuanya harus disempurnakan dalam tempoh yang singkat," katanya.

Kerjasama Awie dan Erra kini terus ditunggu-tunggu. - Foto Nashairi Mohd Nawi

Sisi lain, teater ini jelas menyaksikan kerjasama Erra dan Awie selepas bekerjasama untuk konsert Suara Kita beberapa bulan lalu. Selepas teater berkenaan, mereka turut diundang berlakon filem Warna Cinta Impian.

"Alhamdulillah biarpun kami tiada jodoh bersama, hubungan profesional itu masih utuh dan tak pernah berhenti. Tak sangka gabungan kami kembali diterima ramai termasuk dalam kalangan peminat dan produksi.

"Keserasian antara kami itu masih ada. Dulu masa di konsert Suara Kita memang tak nafikan ada gementar apabila kembali berlakon sama. Tapi sekarang lebih santai. Itu bukti kami lebih baik bersahabat tanpa membabitkan apa-apa perasaan lalu," katanya yang memanggil Awie dengan panggilan Abang.

Teater Takhta 3 Ratu mengisahkan puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Izreen) yang berkahwin dengan Sultan Mansur (Azri Iskandar) terluka hati apabila suaminya itu mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China.

Dalam persengketaan antara Galuh Chenderai dan Li Po, kedua-dua mereka terduduk apabila Sultan Mansur mahu menikahi Lela Wangsa (Erra), iaitu puteri kepada Maharaja Dewa Sura, pemerintah Inderapura yang cuba hendak menyerang Melaka.

Takhta 3 Ratu bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Disember 2014 di Istana Budaya. Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari laman www.airasiaredpix.com.

Berita Harian X