Khamis, 13 November 2014 | 3:29pm
PEMAIN Pahang, Mohd Khairul Khalid diiktiraf sebagai Pemain Paling Bernilai 2014 semasa Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2014 yang disampaikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad (dua dari kiri) di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Pahang bolot 5 anugerah bola sepak kebangsaan

PENJAGA gol dari Pahang Mohd Khairul Azhan Khalid (tengah) diiktiraf sebagai Pemain Paling Bernilai 2014. Pemain lain yang turut memenangi anugerah adalah (dari kiri), Mohd Badri Radzi dari Kelantan (Anugerah Pemain Tengah Terbaik), Mohd Nor Farhan Mohd dari Terengganu (Pemain Penyerang Terbaik), Razaman Roslan dari Pahang (Pemain Pertahanan Terbaik) dan Muhammad Farhan Roslan dari Kedah (Pemain Muda Harapan) pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014 di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

PETALING JAYA: Pahang mendominasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014, hari ini apabila membolot lima anugerah, termasuk Anugerah Pemain Bernilai menerusi penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Selain itu, Khairul Azhan turut meraih Anugerah Penjaga Gol Terbaik dan pemilihannya sebagai pemain paling bernilai menjadikan penjaga gol pertama meraih anugerah itu selain Persatuan Bola Sepak Terbaik, Pertahanan Terbaik (Razman Roslan) dan Jurulatih Terbaik menerusi Zainal Abidin Hassan.

Anugerah lain menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih dua anugerah menerusi Anugerah Kelab Terbaik dan Kelab Penyokong Terbaik.

Selain itu, kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi mengekalkan anugerah Pemain Tengah Terbaik, Mohd Farhan Roslan memenangi Pemain Muda Terbaik, Ashfaq Ali (Pemain Asing Terbaik), Mohd Norfarhan Mohamad (Penyerang Terbaik) manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dipilih sebagai penerima Anugerah Fair Play.

Sementara itu, Mohd Khairul Azhan menyuarakan rasa terkejut dapat meraih kejayaan berganda kerana beranggapan calon lain lebih layak untuk memenanginya.

"Saya tidak dapat ungkapkan perasaan saya pada waktu ini tetapi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua ibu dan bapa, pemain serta pengurusan pasukan Pahang," katanya.

Pemain kelahiran Batu 3, Kuantan itu yang terkenal dengan panggilan 'Yan' di kalangan rakan sepasukan mahu menjadikan kejayaan ini sebagai pembakar semangat bagi membantu Pahang meneruskan kecemerlangan dalam saingan Liga Malaysia 2015.

INFO

Senarai Pemenang Anugerah

Pemain Paling Bernilai: Khairul Azhan Khalid (Pahang)

Penjaga Gol Terbaik: Khairul Azhan Khalid (Pahang) Pertahanan Terbaik: Mohd Razman Roslan (Pahang)

Pemain Tengah Terbaik: Mohd Badhri Radhzi (Kelantan) Penyerang Terbaik: Mohd Nor Farhan Mohd (Terengganu) Pemain Import Terbaik: Ali Ashfaq (Maldives, PDRM) Pemain Muda Harapan: Muhammad Farhan Roslan (Kedah)

Jurulatih Terbaik: Zainal Abidin Hassan (Pahang)

Anugerah Fair Play: Terengganu

Persatuan Bola Sepak Terbaik: Pahang

Kelab Bola Sepak Terbaik: Johor Darul Ta'zim (JDT) Kelab Penyokong Terbaik: JDT

Anugerah Lagenda Harimau Malaya: Skuad Sukan Asia 1974 Tehran, Iran.

Berita Harian X