Khamis, 14 Julai 2016 | 12:50am
AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK)
AADK kini melancarkan Ops Sarang dalam usaha membanteras penagih dadah dan memusnahkan port yang menjadi sarang mereka.
OPS Sarang kini dijalankan oleh AADK di seluruh negara dalam usaha memusnahkan port dadah dalam zon kritikal.
SEBAHAGIAN daripada operasi pembanterasan terhadap penagih dadah yang dijalankan AADK di zon kritikal .

14 zon paling kronik dadah di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyenaraikan 14 zon sebagai kawasan berdepan masalah penagihan dan pengedaran dadah paling kronik di seluruh negara.

Kawasan itu membabitkan penempatan penduduk seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), perkampungan nelayan serta penempatan FELDA.

Zon itu dikenal pasti AADK, selepas meneliti pelbagai aspek termasuk jumlah penagih dan Orang Kena Pengawasan (OKP), peratusan jenayah serta akses yang mudah terhadap bekalan dadah di situ.


14 zon yang disenaraikan sebagai kawasan yang berdepan masalah penagihan dan pengedaran dadah paling kronik di seluruh negara.

Populasi kawasan tumpuan di Kangar, Perlis, dikenal pasti paling kritikal dengan lebih daripada 10 peratus penduduknya terbabit dadah.

Timbalan Ketua Pengarah AADK, Izhar Abu Talib, berkata selain Kangar, zon lain dikenal pasti ialah Kuala Kedah, Kedah; Kepala Batas, Pulau Pinang; Sitiawan, Perak; Petaling Jaya, Selangor dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Zon paling kronik itu turut membabitkan Rompin, Negeri Sembilan; Tanjung Keling, Melaka; Pasir Gudang, Johor; Kuantan, Pahang; Pasir Mas, Kelantan; Gong Badak, Terengganu; Merotai, Sabah dan Kucing , Sarawak.


ANTARA lokasi utama berdepan masalah dadah dalam zon kronik di seluruh negara.

Di setiap zon terbabit, AADK juga mengenal pasti kampung atau penempatan tertentu yang berdepan situasi paling serius.

"Di PPR, kepadatan penduduk menjadi punca utama banyak kes penagihan. Di perkampungan nelayan, ia sukar dikawal kerana budaya kerja mereka memerlukan ketahanan dan percaya perlu ambil dadah bagi tujuan itu.

"Pengedaran dadah di pangkalan nelayan pula membabitkan dalam kalangan 'tauke' bot dan peraih yang sanggup beri hutang kepada nelayan yang menagih," katanya,

Izhar berkata, pil kuda adalah dadah paling popular terutama di Pasir Mas dan Kuala Kedah; manakala di Sabah, syabu yang mudah diperoleh dari negara jiran menjadi pilihan.


SEBAHAGIAN daripada penagih dadah yang ditahan dalam operasi oleh AADK.

Katanya, penyalahgunaan dadah seperti heroin, masih popular dan menjadi pilihan penagih tegar terutama di kawasan tanah rancangan dan bandar.

Berdasarkan statistik AADK, sejak Januari hingga Mac tahun ini, seramai 7,261 penagih baru dikesan dan jumlah itu dijangka terus meningkat berbanding keseluruhan 26,668 penagih pada tahun 2015 dan 21,777 penagih pada tahun 2014.

Berdasarkan pecahan mengikut negeri, jumlah OKP paling tinggi sepanjang 2015 adalah di Pulau Pinang seramai 5,489 orang; diikuti Kedah (5,411); Perak (5,357) dan Selangor (4,964).

Izhar berkata, dalam usaha menangani peningkatan penagih di zon kritikal itu, AADK menggerakkan pasukan khas untuk pembersihan secara menyeluruh termasuk memusnahkan port dadah yang dikenal pasti di situ menerusi Ops Sarang.

"AADK juga melantik pimpinan setempat sebagai ikon dan penggerak program di kawasan itu untuk memudahkan kempen perangi dadah habis-habisan dilaksanakan di situ," katanya.

Bahagian ke empat esok: Malaysia kini negara pengeluar dadah sintetik

1550 dibaca
Berita Harian X