Khamis, 14 Julai 2016 | 2:55pm

Op Selamat sempena Aidilfitri terbaik dalam 5 tahun

RUSLAN menjawab pertanyaan pada sidang media Op Selamat 9/2016 di Bukit Aman hari ini.
- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan Op Selamat 9/2016 sempena Aidilfitri lalu sebagai yang terbaik dalam tempoh lima tahun apabila mencatat penurunan jumlah kematian akibat kemalangan dalam tempoh 14 hari, sejak operasi itu bermula 29 Jun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, berkata sepanjang tempoh operasi itu, 299 kematian dicatatkan berbanding 330 pada Op Selamat 7/2015.

"Sebanyak 20,294 kes kemalangan dicatatkan sepanjang operasi ini dengan 273 kemalangan maut yang mengakibatkan sejumlah 299 kematian.

"Buat kali pertama walaupun jumlah kenderaan meningkat secara mendadak, jumlah kemalangan maut dan kematian menurun berbanding Op Selamat tahun lalu sempena Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Op Selamat 9/2016 di Bukit Aman, hari ini.

Berita Harian X