Khamis, 14 Julai 2016 | 4:10pm

Karier nyanyian kurang menyerlah, Ernie hampir putus asa


PENYANYI Ernie Zakri.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ernie Zakri mengakui dirinya pernah berasa tertekan ekoran kerjaya nyanyiannya kurang menyerlah sejak bergelar juara program Bintang RTM 2009.

Ernie, 24, berkata perkara itu membuatkannya hampir berputus asa dan mengubah haluan muziknya dengan menjadi guru vokal pula.

"Saya belajar muzik dari dulu lagi dan saya hanya tahu bekerja di bidang ini. Jadi, apabila karier nyanyian asyik tidak menjadi, saya hampir berputus asa. Susah untuk saya berdiri kukuh sebagai penyanyi profesional.

"Sebab itu, bermula dua tahun lalu, saya membuat keputusan untuk menjadi guru vokal. Mula-mula memang saya kurang yakin, namun alhamdulillah, saya juga mendapat ilmu sedikit demi sedikit sebagai pengajar," katanya kepada BH Online.

Ernie yang ketika ini menyambung pengajian pada peringkat Sarjana di Universiti Malaya berkata, dia kini lebih berkeyakinan untuk membimbing penyanyi profesional.

Antara artis yang mengikuti kelas vokal anjurannya termasuk Siti Nordiana, Siti Sarah Raisuddin, Amira Othman dan Azza Elite.

Sementara itu, Ernie memberitahu, saat dirinya hampir tidak lagi menaruh harapan dalam bidang nyanyian, namanya menjadi perhatian gara-gara populariti single terbaharu ciptaan DJ Fuzz dan kumpulan Viral, berjudul Jangan Marah.

Kata Ernie, dia bagai dapat melihat kerjaya nyanyiannya seakan-akan kembali bersemarak, lebih-lebih lagi apabila lagu berkenaan menjadi hits di radio tempatan sejak dilancarkan dua bulan lalu.

"Saya menganggap semua itu sebagai rezeki. Saat diri saya berasakan tidak lagi mampu meraih perhatian ramai, lagu Jangan Marah pula menjadi kegemaran ramai.

"Mungkin inilah tuah saya, jadi saya akan terus mengajar vokal selain meneruskan aktiviti nyanyian," tuturnya.

Berita Harian X