Khamis, 13 November 2014 | 6:02pm

Isu doping: Khairy berpendapat bantuan Morgan tak perlu lagi

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpandangan tiada keperluan untuk peguam, Mike Morgan datang ke Malaysia sekarang walau pun pendengaran kes doping Datuk Lee Chong Wei semakin hampir.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana peguam sukan terkemuka itu sentiasa berhubung dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memperoleh serta mengumpul maklumat untuk pembelaan kes tersebut.

"Saya difahamkan semua maklumat yang diperlukan oleh Morgan sedang dikumpulkan oleh pihak BAM dan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya mengulas kemungkinan pengasas firma guaman Morgan Sports Law LLP berpangkalan di London itu akan datang ke Malaysia untuk bertemu BAM.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan perjanjian kerjasama antara KBS dengan ITE Education Services, Singapura, bagi meningkatkan kualiti pengajaran serta kepimpinan dalam kalangan tenaga pengajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini hari ini.

Khamis lalu, Khairy mengumumkan pelantikan Morgan bagi membantu jaguh badminton negara itu berdepan dengan panel pendengaran doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai rekod, Morgan dinamakan sebagai seorang daripada 20 peguam sukan yang berpengaruh dan merangka peraturan disiplin untuk memberi nasihat tentang siasatan anti doping.

Chong Wei kini digantung sementara oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamenthasone' ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu.

Dalam pada itu, Khairy berkata meminta Unit Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) supaya meningkatkan lagi bilangan atlet yang disaring sebelum sesuatu kejohanan besar berlangsung bagi mengelak risiko gagal ujian doping berulang.

Beliau berkata saringan secara rawak terhadap atlet sukan berisiko tinggi memang dilakukan sebelum ini, contohnya hampir 30 peratus daripada atlet yang menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada Ogos dan September lalu melalui ujian itu.

"Memang tidak ada negara yang buat saringan 100 peratus kepada atlet mereka, cuma selepas apa yang berlaku, saya rasa kita perlu tambah sampel-sampel yang diuji dan perkara ini saya sampaikan kepada Adamas," katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X