Jumaat, 15 Julai 2016 | 4:35pm

Noorkhiriah nekad berhenti berlakon

NOORKHIRIAH bersama suami dan anak-anak.

KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira dua dekad bergelar pelakon, Noorkhiriah akhirnya nekad untuk meletakkan titik noktah kepada bidang seni.

Walaupun cerita mengenai kesediaannya untuk mengundurkan diri daripada arena lakonan sudah lama kedengaran, pelakon berbakat yang juga ibu kepada dua anak itu bagaimanapun dilihat seperti bermain tarik tali.

Enggan menoleh ke belakang lagi, video yang dimuat naik wanita dengan nama sebenar Noorkhiriah Ahmad Shapie, 37, semalam, bagai meluahkan segala apa yang tersimpan di hati.

"Kalau boleh saya tidak mahu panjangkan lagi hal ini. Saya enggan melihatnya menjadi kecoh seperti dulu, hingga ada yang anggap saya bersikap acuh tak acuh. Kononnya sekejap saya ingin berhenti berlakon, sekejap lagi tidak jadi.

"Apa yang pasti, saya gembira dengan keputusan ini. Saya rasa tenang dan bermohon supaya Allah kuatkan hati saya dan istiqamah selalu. Saya tahu keputusan ini bukan mudah, tambahan pula lakonan sudah menjadi seperti darah daging sendiri.

"Sebetulnya, saya sendiri tidak tahu macam mana saya boleh bulatkan keputusan itu? Pastinya Allah membuka laluan untuk saya berbuat demikian dan saya amat gembira dengan keputusan dilakukan," katanya.

Kata bintang Papadom ini, sudah tiba masanya beliau melepaskan gelaran pelakon yang disandang sejak akhir era 90-an.

"Biarlah saya berhenti sementara orang masih rindu dan ingat. Kalau sudah dibenci nanti, contohnya, memang orang ramai takkan kisah," katanya yang mengaku amat terhutang budi pada semua produksi yang memberikannya peluang untuk berkongsi bakat dengan peminat, selama ini.

NOORKHIRIAH (kiri) juga aktif menjalankan perniagaan Jus Bidan Dara.

Buat waktu ini, Noorkhiriah ingin memberikan tumpuan kepada perniagaan jubah Muslimah dan jus.

"Jus yang saya jual bagus untuk merawat dalaman wanita. Kalau ada yang hendak mengetahui lebih lanjut, mereka boleh ikuti Instagram saya di bawah nama @khiriah17," katanya yang mengaku turut berminat menyertai program berbentuk Islamik selepas bersara daripada seni.

Berita Harian X