Sabtu, 16 Julai 2016 | 6:51am
ALAT serta bekas yang dipercayai digunakan untuk tujuan menghisap dadah ditemui di bawah Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah. - Foto fail NSTP/Amran Hamid

Hapus terus dadah di Malaysia

LAPORAN 'port dadah' berhampiran balai polis Sentul, Kuala Lumpur, sangat mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku. Selain daripada sarang penagihan dan pengedaran dadah, ia boleh menarik minat penagih baharu serta memberi imej tidak baik.

Polis mesti ambil tindakan menghapuskan kegiatan dadah terutama yang terletak dekat balai. Jika tidak, ia akan dipandang serong oleh masyarakat.

Demi kepentingan negara, semua agensi penguat kuasa perlu bekerjasama. Penulis terkejut apabila reaksi polis menyatakan, lokasi di Sentul yang dikatakan sarang penagih dan pengedaran dadah adalah premis jual samsu berlesen.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula mengesahkan premis jual samsu di Sentul itu 'lokasi panas' penagih dan pengedaran dadah. Semakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula mendapati kedai arak berkenaan tiada lesen premis.

Setiap agensi bertindak bersendirian kerana kurangnya komunikasi dan berlumba-lumba membuat tangkapan dan mendapat publisiti. Penjelasan berbeza boleh mengeliru dan menjejaskan kewibawaan agensi kerajaan, seolah-olah tiada koordinasi antara jabatan berkaitan.

Sudah sampai masa semua agensi bekerjasama dan mencari jalan secara holistik menghapuskan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah. Kerajaan membelanjakan banyak wang tetapi malangnya kesannya tidak memuaskan. Mengikut Ketua Pengarah AADK, jumlah penagih dadah seluruh negara meningkat lebih 20 peratus kepada 26,000 tahun lalu, berbanding 21,000 pada 2014.

Kajian menunjukkan faktor berlakunya penagihan dan pengedaran dadah ialah terdapat permintaan, kelemahan penguatkuasaan, kurang perkongsian maklumat antara agensi, sindiket jenayah terancang dan isu integriti agensi penguat kuasa.

Ada beberapa perkara patut difikirkan bersama. Pertama, selesaikan isu 'port dadah' terlebih dahulu. Setiap Ketua Balai atau Pegawai Polis Daerah hendaklah dipertanggungjawabkan sekiranya masih ada penagih dan sarang dadah di kawasan masing masing. Mereka hendaklah hantar laporan pada Bukit Aman setiap minggu.

Kedua, bagi penyelesaian jangka panjang, kaji semula fungsi AADK, Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) dan Polis dalam strategi pembanterasan dadah. Eratkan kerjasama dan tingkatkan perkongsian maklumat. Mungkin AADK perlu pendekatan terutama yang membabitkan generasi Y.

Ketiga, tumpu kawasan 'lorong tikus atau lorong tentera semut' yang jadi laluan utama pembekal dadah sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Keempat, pegawai penguat kuasa bertugas di lapangan terbang dilengkapkan ilmu 'criminal profiling' dan risikan yang dapat bantu mengesan orang disyaki membawa masuk dadah.

Kelima, amalkan meletak pegawai berintegriti tinggi termasuk di pintu masuk negara dan tempoh penempatan pegawai tidak lebih daripada tiga tahun.

Keenam, pembabitan ibu bapa mendidik serta menyedarkan anak-anak tentang bahaya dan kesan buruk penyalahgunaan dadah perlu dipertingkatkan.

Akhir sekali, masyarakat perlu elak 'melabel' dan sentiasa beri sokongan berterusan dengan menerima kembali bekas penagih dadah.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi, Universiti HELP

Berita Harian X