Sabtu, 16 Julai 2016 | 11:19am
KETUA Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra. - Foto Malai Rosmah Tuah

161 kenderaan disaman di KKIA

KOTA KINABALU: Polis mengeluarkan 161 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang dua hari Op Khas Halangan Lalu Lintas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang berakhir jam 9 malam tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata daripada jumlah itu, 72 saman membabitkan kereta, motokar, pacuan empat roda (18), kenderaan pelbagai guna atau MPV (18), van persiaran (19) dan bas persiaran (lapan).

"Usaha penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar kesalahan lalu lintas seperti halangan akan diteruskan bagi mengurangkan kesesakan serta melancarkan aliran trafik di balai ketibaan dan pelepasan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chandra berkata, penguatkuasaan ke atas kenderaan termasuk yang diletakkan di bahu jalan atau rizab jalan yang diletakkan papan tanda, juga dilakukan bagi memberi keselesaan kepada pengguna kenderaan lain di lapangan terbang antarabangsa itu.

"Jika penguatkuasaan tidak diambil terhadap pemandu kenderaan yang tidak mengikut arahan papan tanda itu, ia boleh merosakkan imej KKIA," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X