Sabtu, 16 Julai 2016 | 4:34pm

Lelaki bunuh isteri kerana cemburu

KUALA LUMPUR: Akibat cemburu, seorang juruelektrik sanggup memukul isterinya hingga mati di rumah mereka di Flet Jinjang Baru, Taman Jinjang di sini, semalam.

Suspek yang berusia 36 tahun dipercayai melakukan perbuatan itu kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata selepas membunuh isterinya yang berusia 36 tahun, suspek menghantar anak perempuannya ke rumah bapa mentuanya pada jam 9 malam tadi di Rawang, sebelum kembali semula ke rumah untuk membunuh diri.

Katanya, suspek cuba membunuh diri dengan menggelar pergelangan tangan pagi tadi sebelum ditahan jam 6.40 pagi dalam keadaan berlumuran darah.

"Suspek ditahan di hadapan rumahnya dalam keadaan berlumuran darah, manakala mayat isterinya ditemui di ruang tamu dengan kesan lebam di mata dan lengan.

"Dia mengaku membunuh isterinya kira-kira 12 jam yang lalu kerana cemburu. Mereka sering bergaduh sejak Khamis lalu kerana isterinya enggan pulang ke rumah selepas habis kerja," katanya ketika dihubungi, semalam.

Munusamy, berkata suspek dipercayai bertindak sedemikian selepas menerima maklumat kononnya isterinya yang juga pekerja sebuah pub mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Katanya, polis sudah mengambil telefon bimbit mangsa dan suspek untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang ditahan reman enam hari, kini mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)

Mayat wanita itu dihantar ke HKL untuk bedah siasat.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X