Sabtu, 16 Julai 2016 | 11:14pm

Penunggang motosikal maut bertembung kereta

KEMALANGAN maut yang melibatkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta di Felda Gedangsa Hulu Selangor. - Foto Ihsan Pembaca

HULU SELANGOR: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 19.8 Jalan Tanjung Malim-Sungai Besar Gedangsa, dekat sini.

Kejadian jam 7.40 pagi itu dipercayai berpunca apabila Proton Saga dari arah Tanjung Malim yang dipandu seorang lelaki terbabas ke kanan bahu kanan ketika mengambil selekoh.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata pemandu kereta itu kemudian dikatakan cuba memasuki semula laluan asal namun gagal mengelak motosikal ditunggangi mangsa, Ahmad Nazri Mohd Razali, 38, yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kedua-duanya bertembung.

"Mangsa cuba mengelak ketika terlihat kereta itu menghalang laluannya, tetapi tidak sempat dan berlaku perlanggaran sebelum kedua-dua kenderaan itu terseret ke bahu kiri jalan.

"Pemandu kereta, Muhammad Amirul Suhaimi, 22, yang tersepit di tempat duduk pemandu mengalami patah kaki, dikejarkan ke Hospital Slim River oleh orang awam dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya di sini.

Beliau berkata, Ahmad Nazri cedera di leher dan dagu dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Selisik oleh orang awam, namun disahkan meninggal dunia sejam kemudian ketika menerima rawatan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X