Ahad, 17 Julai 2016 | 10:57am

PIBG SMK Pelindung sasar kutip derma RM300,000

KUANTAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Pelindung menyasar kutipan dana sebanyak RM300,000 untuk kelengkapan penghawa dingin bagi kelas pendidikan khas, peralatan bilik darjah serta membeli 10 unit komputer.

Pengerusinya, Zulaimi Ahmad, berkata pihaknya sentiasa bekerjasama membantu pengurusan sekolah menerusi kutipan dana bagi menyediakan perancangan lebih teliti untuk memajukan sekolah dan kecemerlangan akademik pelajar.

"Jamuan Aidilfitri ini adalah tradisi tahunan bagi mengumpul dana selain mengadakan pertandingan memancing peringkat kebangsaan, majlis makan malam dan lebih RM100,000 berjaya dikumpul.

"Kami harap lebih ramai ahli dapat menghulurkan sumbangan bagi memajukan sekolah ini," katanya pada majlis jamuan Aidilfitri dan pelancaran kutipan dana PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) Pelindung, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Hal Ehwal FELDA negeri, Datuk Abu Bakar Harun.

Sementara itu, Adnan berkata, kutipan derma itu penting bagi menggerakkan sekolah yang baru lapan tahun beroperasi dan sumbangan PIBG berperanan aktif menjayakan program ke arah memajukan sekolah berkenaan.

"Kutipan dana perlu membabitkan sokongan banyak pihak terutama ibu bapa, PIBG dan pengurusan sekolah. Kita mahu semua pihak berganding bahu mencapai matlamat memajukan sekolah itu," katanya.

Berita Harian X