Ahad, 17 Julai 2016 | 7:42pm

15 kes difteria dengan 5 kematian direkodkan

KUALA LUMPUR 11 DECEMBER 2015. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. NSTP/Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 kes difteria, termasuk lima kematian, direkodkan di negara ini sehingga hari ini.

Pecahan kes mengikut negeri menunjukkan Melaka mencatatkan tiga kes dengan satu kematian, Kedah tujuh kes dengan satu kematian, Sabah empat kes dengan tiga kematian, dan Negeri Sembilan satu kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulah, berkata jumlah itu termasuk kes yang berlaku pada hari ini seperti dilaporkan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) iaitu kes disyaki difteria dialami kanak-kanak berumur lapan tahun.

Beliau berkata, pada 13 Julai lalu, kanak-kanak itu mengalami demam dan sakit tekak serta bengkak muka dan leher.

"Keputusan ujian makmal belum diperoleh. Bagaimanapun, pesakit dalam keadaan stabil dan diberi rawatan anti-toksin difteria.

"Saya menyarankan agar ibu bapa memastikan anak di bawah umur tujuh tahun mendapat imunisasi lima serangkai yang lengkap untuk mengelak daripada dijangkiti bakteria Corynebacterium Diphtheriae," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, orang dewasa juga tidak terkecuali daripada dijangkiti difteria.

Katanya, pada 16 Julai lalu, seorang suri rumah berumur 41 tahun disahkan dijangkiti difteria.

"Pesakit sudah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembau pada 13 Julai lalu. Selepas disyaki menghidap difteria, pesakit dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar dan kemudian dimasukkan ke wad untuk isolasi serta rawatan.

"Ini adalah kes sporadik (terpencil) dan pesakit dalam keadaan stabil," katanya.

Berita Harian X