Jumaat, 14 November 2014 | 7:56am
TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan II, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (kanan) melepaskan peserta ekspedisi memancing sambil santai, Boat On The Road (BOTR) 2014 dekat Hentian Sebelah Gombak Barat, Lebuh Raya Kuala Lumpur- Karak, sebentar tadi.

190 peserta BOTR 2014 buru habuan RM73,800

KUALA LUMPUR: Seramai 190 peserta Boat On The Road (BOTR) 2014 berlepas menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari Tol Gombak menuju ke Pulau Warisan dan seterusnya ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu, pagi ini.

Majlis pelepasan peserta program berkenaan yang membabitkan 50 buah 4WD disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan II, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Ab Rahman.

Pengurus Projek Khas BH, Mohd Hazrul Rabu, berkata buat julung kalinya peserta konvoi akan singgah di Pulau Warisan, Kuala Terengganu yang bakal disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafie dan dijangka menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis penutup.

Katanya, BOTR 2014 turut menampilkan Wira Everest Negara 2004, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 32, yang mengesahkan penyertaan pada ekspedisi sambil memancing itu bagi kategori Boat House (Bottom).

"Tidak ketinggalan, dua peserta dari England iaitu Kumpulan Dream Chaser Boat Explorer yang bertanding dalam kategori casting.

"BOTR 2014 juga menerima penyertaan dari agensi kerajaan Terengganu seperti Jabatan Bomba dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pelancongan Negeri Terengganu.

"Pihak Tourism Malaysia juga menampilkan penyertaan seramai 15 orang yang terdiri daripada pengamal media dan juga blogger," katanya pada majlis pelepasan BOTR 2014 di Tol Gombak, sebentar tadi.

BOTR 2014 yang bermula hari ini sehingga Ahad ini adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri Terengganu, BH dan TV3 serta mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Pembangunan Tasik Kenyir, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kelab Kembara 4x4 Selangor dan Persatuan Memancing Malaysia (PEMM).

Mohd Hazrul berkata, program yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 itu mendapat tajaan daripada Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (produk Coleman); ANIH Berhad (Konsesi Lebuh raya Pantai Timur), Boat Explorer dan Honda.

Katanya, BOTR 2014 dibahagikan kepada dua kategori iaitu berkumpulan - casting (bot sendiri) dengan maksimum tiga pemancing dalam satu bot dan individu - Boat House (Bottom) iaitu memancing di atas rumah bot yang disediakan.

"Pemancing bagi kedua-dua kategori dikenakan yuran penyertaan RM250 setiap seorang meliputi pakej yang disediakan oleh penganjur," katanya.

Penganjur menetapkan sembilan jenis ikan dipertandingkan iaitu toman, sebarau, kelah, kaloi, temoleh, siakap, baung, patin dan belida berkonsepkan tangkap dan lepas.

Pemenang dikira berdasarkan tangkapan paling berat keseluruhan sepanjang dua hari pertandingan.

BOTR 2014 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM73,800. Juara kategori casting, juara kumpulan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan bot gentian kaca, naib juara akan menerima RM10,000 dan tempat ketiga RM5,000 manakala tempat keempat RM2,000.

Kategori Boat House, juara individu akan membawa pulang wang tunai RM8,000, naib juara RM5,000, tempat ketiga RM3,000 dan keempat RM1,000.

Selain wang tunai, pelbagai hadiah iringan menarik menanti semua pemenang untuk kedua-dua kategori.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Terengganu juga menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 kepada pemancing yang berjaya menaikkan ikan Arapaima Giggs atau Naga Merah.

Berita Harian X