Isnin, 18 Julai 2016 | 3:12pm

Hos HLive, Dahlia Shazwan nikah 23 Julai

Hos HLIVE, Dahlia Shazwan dengan bakal suaminya, Shafiq Ismet.
Hos HLIVE, Dahlia Shazwan dengan bakal suaminya, Shafiq Ismet.

KUALA LUMPUR: Pengacara, Dahlia Shazwan, bakal menamatkan zaman solo bersama eksekutif pemasaran, Shafiq Ismet, pada 23 Julai ini.

Dahlia atau nama sebenarnya Dahlia Shazwan Mohd Amin, 28, yang popular menerusi rancangan HLive, akan berkahwin dengan pemuda yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu itu dalam sebuah majlis yang bakal diadakan di ibu kota.

Pasangan berkenaan seterusnya akan diraikan dalam majlis persandingan, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 31 Julai ini.

Dahlia, yang turut bergelar penerbit mengakui ketika ini sibuk dengan persiapan akhir menghadapi hari bersejarahnya.

HLive juga akan menyiarkan dua episod istimewa kisah perkahwinan Dahlia dan Shafiq menerusi program diberi judul Menuju Halal.

"Kerja kahwin bukan sesuatu yang mudah. Saya sendiri memang berasa gementar menjelang hari berkenaan, tetapi pada masa sama saya mengharapkan penamat yang indah.

"Apa yang lebih penting ialah fasa selepas saya berkahwin nanti," katanya yang akan menggayakan busana rekaan Hatta Dolmat pada majlis pernikahan, manakala bagi majlis resepsi pula rekaan Ashraf Zainal menjadi pilihannya.

Dahlia memulakan dunia pengacaraan selepas menyertai rancangan pencarian bakat On Air musim pertama, kendalian Datuk Aznil Nawawi.

Walaupun tersingkir lebih awal, Dahlia tidak menoleh ke belakang apabila menerima tawaran daripada personaliti televisyen berpengalaman, Suhaimi Sulaiman, yang waktu itu bertugas sebagai Ketua Pengarang Rangkaian Berita, Astro Awani.

Selepas menamatkan latihan, Dahlia diambil bertugas sebagai wartawan penyiaran dan kemudiannya diletakkan di bawah program infotainment, Gala TV.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X