Isnin, 18 Julai 2016 | 3:57pm

Teman lelaki paling rapat Rita meninggal dunia

Pelakon, Rita Rudaini (kiri) bersama anak-anaknya, Airit Rafqa Arjuna (dua dari kiri) dan Airit Rayyan Rizqin (kanan) pada majlis rumah terbuka dan majlis pelancaran Kedai beliau yang diberi nama Rumah Kueh di Kota Damansara. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini, 40, mengakui pernah rapat dengan seorang lelaki yang tinggal di luar negara, namun hubungan itu tidak berpanjangan selepas temannya meninggal dunia, April lalu.

Katanya, walau tempoh perkenalan tidak sampai setahun, selain sekadar berhubung menerusi maya, persahabatan mereka terjalin akrab, malah lelaki terbabit sanggup menunggunya membuka pintu hati.

"Dalam ramai lelaki yang mendekati dan menghantar mesej, saya tidak tahu kenapa dengan dia yang saya selesa berbual dan bergurau.

"Saya anggap dia sebagai kawan biarpun kami hanya berhubung menerusi kemudahan teknologi.

"Sepanjang perkenalan, saya berkongsi apa sahaja cerita dan dia sebenarnya mahu hubungan kami ke fasa seterusnya tetapi langsung tidak pernah memaksa apabila membabitkan soal hati.

"Rasa prihatin dan sikap penyabarnya membuatkan saya kadang kala terfikir untuk menerimanya, namun kemudian perasaan ini kembali berbolak-balik apabila terkenangkan masa lalu. Saya sudah penat," katanya selepas perasmian restorannya, Rumah Kueh di Kota Damansara, semalam.

Kongsinya lagi, sepanjang persahabatan lelaki berkenaan pernah senyap seketika berikutan masalah kesihatan dan sebagai rakan, Rita sentiasa menitipkan kata-kata semangat serta doa.

"Saya memahami keadaannya yang berdepan penyakit. Dia seorang yang berjiwa kental. Dalam situasi dilaluinya, dia masih sedia menjadi pendengar setia semua kisah hidup saya dan memberikan semangat. Sedih, namun Tuhan lebih sayangkannya," kata ibu Airit Rayyan Rizqin, 7 dan Airit Qaqa Arjuna, 5.

Mengulas soal hati selepas empat tahun bergelar ibu tunggal, aktres terbabit tidak menafikan ramai yang mahu mendekatinya atau lebih berani mengirim mesej menerusi aplikasi Whatsapp hingga terpaksa disekat Rita sendiri.

Masih trauma dengan kegagalan perkahwinan, setakat ini, Rita mengakui masih solo.

Mengenai Rumah Kueh, Rita mengakui ia mendapat sambutan baik sejak beroperasi Ramadan lalu apabila menawarkan aneka masakan Melayu selain lebih 18 jenis kuih-muih tradisional yang jarang dijumpai di ibu negara.

"Saya tinggal di kawasan Kota Damansara dan kalau mahu cari makanan Melayu terutama ulam-ulaman memang agak susah. Sebab itu saya mendapat ilham merealisasikan Rumah Kueh," katanya.

Berita Harian X