Isnin, 18 Julai 2016 | 6:54pm

Malaysia ada kapasiti serap kejutan luaran - Gabenor BNM

GABENOR Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai kapasiti untuk menyerap sebarang kejutan luaran jika ekonomi global merosot, dengan modal berlebihan dalam industri perbankan sebanyak RM120 bilion, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata, sejak krisis kewangan Asia 1997/1998, Malaysia telah melaksanakan banyak pembaharuan yang dilaksanakan dengan baik dalam mengukuhkan sektor perbankan dengan kesan yang menyeluruh.

"Sebahagian daripada pembaharuan itu sangat asas. Misalnya, menggabungkan sektor perbankan daripada lebih 60 institusi kepada 10 dan kini lapan kumpulan perbankan, dan ini langkah yang telah kita lakukan," katanya kepada BERNAMA dalam temu bual media eksklusifnya yang pertama sejak pelantikan beliau sebagai Gabenor bank pusat pada 1 Mei, 2016.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai keperluan untuk kembali kepada langkah-langkah yang bukan ortodoks yang diperkenalkan semasa krisis kewangan Asia seperti tambatan ringgit dan kawalan modal lain, jika prospek ekonomi global merosot disebabkan kesan daripada ekonomi utama dan tindakan United Kingdom untuk keluar daripada Kesatuan Eropah susulan pungutan suara 'Brexit'.

Muhammad berkata, penggabungan bank-bank kepada lapan kumpulan perbankan adalah langkah tepat berikutan ia mengukuhkan sektor perbankan yang membolehkan institusi perbankan domestik berdikari dan bersaing dengan bank-bank asing selain meluaskan operasi mereka di luar negara.

"Ujian terbesar adalah ia [bank-bank] boleh meluaskan operasi mereka di luar Malaysia dan mereka berkembang maju dalam ekonomi baharu yang mereka beroperasi.

"Ini menunjukkan mereka kompetitif sekarang dan ia adalah satu perkembangan yang besar bagi industri perbankan domestik", katanya.

Beliau menegaskan langkah lain yang dilaksanakan turut membabitkan pembangunan entiti baharu seperti perbadanan insurans deposit, atau Perbadanan Insurans Deposit Malaysia, yang telah mengukuhkan sektor perbankan dalam memastikan wang pendeposit diinsuranskan sepenuhnya.

Langkah-langkah yang diperkenalkan dalam sektor perbankan, misalnya amalan pengurusan risiko yang lebih berkesan dan budaya tadbir urus korporat yang lebih kukuh telah menjadi tunjang kepada asas-asas ekonomi dan kewangan negara.

"Kami mahu rakyat Malaysia yakin terhadap sektor perbankan, integriti dan kepentingan sistem kewangan serta menjadi lambang kepada tadbir urus korporat yang baik.

"Baru-baru ini, kami mengeluarkan dokumen perundingan baharu mengenai Garis Panduan Tadbir Urus Korporat bagi Institusi Kewangan yang terdiri daripada beberapa penambahbaikan, lebih tinggi berbanding entiti lain," katanya.

Tujuan garis panduan itu, katanya, untuk menetapkan standard terbaik bagi tadbir urus di Malaysia iaitu bank perlu dilihat dari segi integriti dan kedudukan mereka.

"Kita perlu terus 'menjual' asas-asas kita yang kukuh dan melakukan lebih banyak pameran bergerak. Kita perlu menekankan pelbagai langkah berani yang telah kita laksanakan sejak dua dekad lepas dan memberitahu kisah kita," katanya.

Beliau berkata keyakinan dalam kalangan pelabur asing meningkat, dapat dilihat melalui aliran masuk modal yang besar ke dalam pasaran bon.

Mengenai trend hutang isi rumah yang membimbangkan di Malaysia, katanya, ia adalah antara bidang yang bank pusat membuat pemantauan dengan rapi untuk suatu tempoh tertentu.

"Risiko ketidakseimbangan kewangan yang tidak stabil semakin susut," katanya.

Beliau menjelaskan pelbagai langkah berhemat makro dilaksanakan oleh bank pusat dan mengukuhkan pengawasan penyeliaan, telah membawa kepada lebih banyak standard pinjaman yang berhemat.

"Penilaian kemampuan bank, atau nisbah khidmat hutang, telah meningkat dengan ketara, kini purata pada 40 peratus berbanding 60-70 peratus sebelumnya bagi peminjam," katanya.

Memandangkan ekonomi Malaysia masih bergantung kepada permintaan domestik, Muhammad berkata bank pusat tidak berhasrat untuk mengurangkan penggunaan swasta.

"Apa yang kita tidak mahu ialah mereka yang boleh meminjam wang, tidak mempunyai akses kepada kredit.

"Kita perlu jelas bahawa orang ramai tidak meminjam berlebihan dan memahami perkara-perkara berkaitan perkhidmatan kewangan dan ini sebabnya AKPK, atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, diwujudkan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X