Isnin, 18 Julai 2016 | 9:03pm
MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong (tiga dari kiri) melihat minyak yang dihasilkan dari kelapa sawit sambil diperhatikan Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) MPOB, Dr Ahmad Kushairi Din (dua dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komiditi, Datuk M. Nagarajan (dua dari kanan) dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Kejuruteraan dan Pemprosesan, Dr Lim Weng Soon (kanan) pada lawatan rasmi ke Bangunan Teknologi Oleokimia, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Bandar Baru Bangi. - Foto Surianie Mohd Hanif

MPIC jumpa pengeluar automatif bincang pelaksanaan B10

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) akan mengadakan perjumpaan dengan wakil beberapa syarikat pengeluar automotif hari ini untuk membincangkan pelaksanaan Biodiesel Sawit B10 (B10).

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata penggunaan B10 adalah satu langkah proaktif diambil kerajaan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengatasi isu pemanasan global memandangkan bahan api itu bersifat mesra alam.

"Kami memahami kebimbangan mereka (pengeluar kereta). Oleh itu, kami merancang untuk mengadakan pertemuan dengan mereka esok (hari ini) bagi membincangkan perkara yang berkaitan isu ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran Bangunan Teknologi Advanced Oleochemicals MPOB di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan & Pembangunan) MPOB, Dr Ahmad Kushairi Din.

Sebelum ini, beberapa syarikat automotif seperti BMW Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia, UMW Toyota, Volkswagen Malaysia dan Isuzu Malaysia melahirkan rasa kebimbangan terhadap pelaksanaan B10.

Sehubungan itu, Siew Keong berkata, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sudah membuat pelbagai penyelidikan dan ujian untuk menguji keberkesanan penggunaan B10.

"Kita dapati ia selamat digunakan untuk mana-mana kenderaan. Malah, ia akan membantu mengurangkan stok minyak sawit di negara ini, sekali gus membantu meningkatkan harga minyak sawit mentah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siew Keong berkata, MPOB dan rakan sejawatan mereka di Indonesia menubuhkan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Katanya, CPOPC yang dijadualkan beroperasi bulan depan, akan membincangkan isu tarif ke atas minyak sawit di Perancis, pengukuhan eksport, kesihatan dan kemampanan.

"Malah, saya akan mengetuai delegasi ke China bulan depan untuk meningkatkan hasil eksport minyak sawit ke republik itu yang menurun baru-baru ini.

"Masalah kekurangan permintaan dari China, pengguna minyak sawit terbesar yang menjejaskan sentimen pasaran, perlu diselesaikan secepat mungkin," katanya.

 

INFO

B10

* Ia campuran 10 peratus metil ester dan 90 peratus diesel petroleum

 

Kesan penggunaan B10 

* Kurangkan pelepasan gas rumah hijau menerusi penggunaan sumber mesra alam dan tenaga lestari

* Kurangkan kebergantungan ke atas diesel petroleum

* Bantu meningkatkan harga minyak sawit mentah

* Kurangkan stok minyak sawit dalam negara

 

Berita Harian X