Isnin, 18 Julai 2016 | 9:04pm

Kerja Kahwin bersaing pada festival filem di Perancis

KUALA LUMPUR: Filem cereka sulung terbitan Wayang Pondok Sdn Bhd, Kerja Kahwin, menyaksikan tayangan perdana sedunianya diadakan di pekan bersejarah Issoire, Perancis, pada 26 Julai ini sempena Festival Satu Negara Satu Filem 2016.

Naskhah itu antara empat filem yang diberikan penghormatan membuka tirai acara kali ini.

Ia kemudian akan ditayangkan sekali lagi di Apchat, empat hari kemudian, pada festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Julai nanti.

Penganjuran tahun ini adalah yang ketujuh bagi festival berkenaan yang dikenali sebagai antara acara pesta filem popular yang mengetengahkan adat serta budaya sesebuah negara kepada khalayak.

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, filem berkenaan dipilih untuk bertanding dalam kategori cereka bersama-sama karya daripada Perancis, Iraq, Serbia, Kanada dan banyak lagi.

Lebih 60 penyertaan dari seluruh dunia akan ditayangkan sepanjang festival berlangsung.

Selain pengarah, Dr Anwardi Jamil, dan produsernya, Zabir Suliman serta Dr Liza Marwati, pelakon filem berkenaan yang juga produser dan sutradara disegani, Datuk Rosnani Jamil, akan mewakili Kerja Kahwin pada festival itu.

Di negara ini, filem yang bercerita mengenai adat perkahwinan Melayu yang semakin dilupakan itu sudah pun ditayangkan di secara wayang pacak sejak Disember tahun lalu.

Wayang Pondok dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan menayangkan filem yang turut menampilkan Janna Nick itu kepada masyarakat dan komuniti peneroka hampir setiap hujung minggu, sehingga penghujung tahun ini. Ia dilakukan sebagai usaha memperkenalkan lagi karya tempatan kepada penduduk.

Penerbit filem berkenaan bagaimanapun agak kecewa apabila naskhah terbabit tidak dibenarkan bersaing pada Festival Filem Malaysia (FFM) tahun ini yang akan berlangsung September depan. Penganjurnya dikatakan tidak akan menerima pencalonan sesebuah filem kecuali ia ditayangkan di pawagam.

"Saya rasa agak kecewa apabila apabila FFM menolak pencalonan filem ini sedangkan festival luar negara membenarkan penyertaan kami. Semuanya gara-gara kami memutuskan untuk menayangkan filem ini secara terus kepada masyarakat di pedalaman, bukannya di pawagam yang menyaksikan karya tempatan perlu bersaing dengan judul blockbuster Hollywood," kata Anwardi.

Kerja Kahwin yang menjalani penggambaran di Janda Baik dengan kos pembikinan sekitar RM500,000 ditayangkan secara wayang pacak di kira-kira 65 lokasi FELDA seluruh negara.

Berita Harian X