Isnin, 18 Julai 2016 | 9:22pm

UMT bangunkan industri kelulut


NAIB Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (kiri) melihat koloni kelulut yang disumbangkan oleh Rizq Agrofarm selepas majlis penyerahan 50 koloni kelulut oleh Rizq Agrofarm kepada UMT di Kampus Kedua UMT Bukit Kor, Marang. - Foto Noor Aznida Alias

MARANG: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bekerjasama dengan syarikat tempatan, Rizq Agro Farm, bagi membangunkan industri kelulut untuk tujuan keusahawanan, penyelidikan dan penternakan di Kampus Kedua UMT, Bukit Kor, di sini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata industri kelulut semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi disebabkan nilai khasiatnya yang mampu menjadi makanan kesihatan tambahan dan mengubati pelbagai jenis penyakit secara semula jadi.

"Projek UMT Agropreneur Kelulut membabitkan penyertaan penyelidik, penggerak industri, pelajar dan komuniti yang akan berganding bahu menyumbang pengetahuan untuk menjayakan penternakan dan perusahaan madu kelulut di sini.

"Selain menyumbang 50 sarang kelulut sebagai permulaan projek, Rizq Agrofarm yang berperanan sebagai usahawan mentor akan memberi khidmat nasihat daripada aspek penjagaan hingga teknik pemasaran bagi memastikan projek ini berjaya.

"Seramai 50 pelajar UMT terpilih bertanggungjawab menjaga koloni ini menerusi konsep koloni angkat bermula September ini," katanya selepas Majlis Penyerahan Koloni Kelulut oleh Rizq Agrofarm kepada UMT, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Keusahawanan Dan Kerjaya UMT, Dr Mohd Shaari Abd Rahman.

Nor Aieni berkata, projek itu akan diperluaskan kepada 100 koloni di kawasan seluas lapan hektar bagi mewujudkan Taman Mini Agro Kelulut, hujung tahun ini.

Berita Harian X